KUALA LUMPUR 11 Julai - Saham Sarawak Cable Bhd akan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada 15 Julai ini, selepas rayuan syarikat itu untuk mendapatkan lanjutan masa bagi mengemukakan pelan penyusunan semula ditolak.
Kumpulan itu berkata, Bursa Malaysia menolak permintaannya untuk lanjutan masa — sehingga 31 Disember 2025 — bagi mengemukakan pelan pemulihan bagi menangani status Nota Amalan 17 (PN17) syarikat itu.
Proses nyahsenarai itu akan menyebabkan Sarawak Cable, yang terlibat dalam aktiviti pembuatan dan perdagangan kabel dan dawai kuasa, terus wujud sebagai entiti yang tidak tersenarai.
Syarikat itu berkata, ia akan mengekalkan maklumat pemegang saham dalam daftar syarikat dan akan meneruskan operasi serta penstrukturan semulanya.
Namun begitu, saham syarikat tidak lagi akan diniagakan di Bursa Malaysia.
"Syarikat masih mampu untuk meneruskan operasi dan perniagaannya serta melaksanakan penstrukturan semula korporat, dan pemegang saham masih boleh menerima ganjaran melalui prestasi syarikat.
"Kepentingan dan hak pemegang saham akan terus dilindungi di bawah Akta Syarikat 2016," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Proses nyahsenarai itu berlaku susulan daripada beberapa masalah kewangan yang telah membelenggu syarikat tersebut.
Pada bulan Mac, juruaudit luar Sarawak Cable mengeluarkan penyataan tanpa pendapat terhadap penyata kewangan teraudit bagi tahun kewangan berakhir 30 November 2024 (FY24), dengan menyatakan beberapa ketidakpastian yang menimbulkan keraguan besar terhadap keupayaan syarikat untuk terus beroperasi sebagai entiti yang berterusan.
Ini merupakan tahun ketiga berturut-turut penyata kewangan syarikat itu diberi penyataan tanpa pendapat oleh juruaudit, selepas penafian yang sama untuk FY22 dan FY23.
Dagangan saham syarikat telah digantung sejak 28 Mei lalu. Pada ketika itu, Bursa Malaysia menyatakan, Sarawak Cable masih belum menunjukkan sebarang perkembangan ketara dalam memuktamadkan dan mengemukakan pelan pemulihannya kepada pihak berkuasa yang berkaitan.
Sarawak Cable jatuh ke dalam status PN17 pada September 2022 selepas juruaudit luar mempersoalkan keupayaannya untuk terus beroperasi.
Syarikat itu telah melantik Malacca Securities Sdn Bhd sebagai penasihat utama untuk menyediakan pelan bagi menstruktur semula keadaannya, namun sehingga kini masih belum mengemukakan pelan tersebut kepada Bursa Malaysia.
Saham syarikat terakhir ditutup pada harga satu sen pada 27 Mei lalu, dengan modal pasaran sebanyak RM4 juta. - DagangNews.com








