Sapura Industrial dan Mubea dari Jerman bekerjasama tingkatkan keupayaan teknikal hasilkan komponen automotif | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sapura Industrial dan Mubea dari Jerman bekerjasama tingkatkan keupayaan teknikal hasilkan komponen automotif

Gambar/Sapura Industrial Bhd
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 20 Mac - Pengeluar komponen automotif, Sapura Industrial Bhd memeterai perjanjian dengan Mubea Fahrwerksfedern GmbH yang berpusat di Jerman untuk meningkatkan keupayaan teknikalnya dalam pengeluaran komponen automotif bar penstabil berongga dan gegelung spring tekanan tinggi.

 

Sapura Industrial berkata, Mubea akan menyediakan kepakaran teknikal untuk menyokong kumpulan dalam reka bentuk, pembangunan dan pembuatan komponen automotif penting tersebut.

 

Perjanjian selama lima tahun itu termasuk klausa pembaharuan automatik untuk tempoh tambahan satu tahun. 

 

Sebagai pertukaran untuk bantuan teknikal berkenaan, Sapura Industrial akan membayar royalti kepada Mubea.

 

Ketua Perniagaan Pembuatan Sapura Industrial, Mohd Fahmi Md Isa berkata, perjanjian itu akan menyediakan peluang pasaran baharu bagi mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai satu-satunya pengeluar bar penstabil di Malaysia dan pengeluar utama spring gegelung.

 

"Perkongsian ini memberi kami akses kepada kepakaran kejuruteraan terbaik, yang membantu kami meningkatkan produk kami untuk pengeluar kereta. 

 

"Dengan meningkatkan keupayaan pengeluaran kami, kami memacu pertumbuhan Sapura Industrial sambil menyokong pembangunan jangka panjang industri automotif Malaysia," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Ketua Serantau Mubea untuk Asia, Andrzej Wojcikowski pula menyifatkan, gabungan kepakaran Mubea dalam komponen suspensi berketegangan tinggi dan asas pembuatan kukuh Sapura Industrial, membolehkan kedua-dua syarikat memacu pembangunan rumusan automotif bertaraf dunia di Malaysia.

 

"Kerjasama ini mencerminkan komitmen Mubea untuk memperluas perkongsian strategik dan memajukan teknologi automotif di pasaran utama di seluruh dunia," jelasnya. - DagangNews.com