Saliran Group perkukuh prestasi pasca penyenaraian, sasar pengembangan operasi di Asia Tenggara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saliran Group perkukuh prestasi pasca penyenaraian, sasar pengembangan operasi di Asia Tenggara

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 20 Jun — Saliran Group Bhd  memperkukuh prestasi pasca penyenaraian dengan menyasarkan peluasan operasi di rantau Asia Tenggara, selain meningkatkan keupayaan penghantaran dan pembuatan di bawah jenama usaha bersama "THF".

 

Jenama THF merupakan usaha sama antara Saliran dan Tae Heung Forging Co Ltd, dengan kedua-dua pihak memainkan peranan dalam menyokong kejayaan jenama tersebut.

 

Syarikat itu mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertama, dengan semua 11 usul biasa yang dibentangkan telah diluluskan oleh para pemegang saham.

 

Antara usul utama termasuk penerimaan Penyata Kewangan Diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24), serta kelulusan bayaran yuran dan manfaat pengarah bagi FY25 dan FY26.

 

Pengarah Urusan Saliran, Liaw Choon Wei berkata, pihaknya amat menghargai kepercayaan dan sokongan berterusan daripada pemegang saham dalam fasa penting perjalanan korporat syarikat.

 

saliran
Pengarah Urusan Saliran, Liaw Choon Wei

 

"Kepercayaan teguh yang diberikan mencerminkan keyakinan terhadap strategi jangka panjang syarikat.

 

"Dengan penyenaraian melalui tawaran awam permulaan (IPO) pada Mac 2025 serta kejayaan AGM pertama, kami kini lebih komited untuk memacu pertumbuhan mampan dan mencipta nilai di semua pasaran yang kami ceburi," katanya dalam satu kenyataan.

 

Satu lagi usul utama ialah pemberian kuasa kepada lembaga pengarah untuk menerbit dan memperuntukkan saham baharu selaras dengan Seksyen 75 dan 76 Akta Syarikat 2016, bagi memberikan fleksibiliti kepada syarikat dalam melaksanakan inisiatif kutipan dana bagi menyokong pelan pertumbuhan masa depan.

 

Pemegang saham turut meluluskan pelantikan semula enam pengarah yang bersara, selain mengekalkan Tetuan Kreston John & Gan sebagai juruaudit luar syarikat.- DagangNews.com