Saliran Group catat hasil RM135.57 Juta, PBT naik 180.99% pada Q3 FY2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saliran Group catat hasil RM135.57 Juta, PBT naik 180.99% pada Q3 FY2025

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 25 NovSaliran Group Berhad mencatat hasil RM135.57 juta dan keuntungan sebelum cukai (PBT) RM6.80 juta bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (Q3 FY2025), menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Menurut syarikat itu, hasil meningkat 16.53% daripada RM116.34 juta pada Q2 FY2025, didorong oleh peningkatan jumlah pesanan daripada projek infrastruktur dan pembinaan dalam negara. 

 

PBT melonjak 180.99%, disokong oleh peluasan margin keuntungan kasar daripada 8.40% kepada 11.12%, hasil campuran produk lebih menguntungkan serta strategi penetapan harga lebih berkesan.

 

Kumpulan berkata peningkatan penghantaran komponen keluli khas ber-margin tinggi khususnya untuk pusat data, sistem keselamatan kebakaran, pembinaan bangunan, dan projek tenaga boleh diperbaharui seperti infrastruktur solar, turut membantu mengukuhkan margin.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025 (9M FY2025), Saliran merekodkan hasil RM346.92 juta dan keuntungan selepas cukai (PAT) RM8.77 juta. PAT normalisasi, tidak termasuk perbelanjaan penyenaraian sekali sahaja berjumlah RM0.69 juta, berada pada RM9.46 juta, menunjukkan kekuatan operasi yang berterusan.

 

Menurut makluman itu, permintaan kukuh daripada pelanggan tempatan terus menjadi pemacu utama, dengan jualan domestik meningkat kepada 92.21% daripada hasil Q3 (Q2 FY2025: 77.51%).

 

Segmen pembekalan dan pengedaran kekal sebagai penyumbang terbesar dengan RM134.67 juta, manakala segmen pembuatan menyumbang RM0.90 juta.

 

Syarikat turut mencatat pendapatan daripada pasaran Indonesia, Singapura, Vietnam, Thailand, Korea dan Timur Tengah, sekali gus meningkatkan kepelbagaian sumber hasil.

 

Pengarah Urusan Saliran Group Berhad, Liaw Choon Wei berkata, prestasi kami pada suku ketiga menunjukkan kekuatan pasaran teras dan peningkatan penerimaan penyelesaian ber-margin tinggi dalam sektor seperti pusat data, perlindungan kebakaran dan tenaga boleh diperbaharui. Pertumbuhan hasil yang konsisten serta pemulihan margin membuktikan keberkesanan strategi harga dan produk kami.

 

Katanya lagi, meskipun ketidaktentuan makroekonomi berterusan, kumpulan kekal optimis terhadap prospek perniagaan dan akan terus memberi keutamaan kepada pengukuhan kedudukan dalam pasaran domestik dan memanfaatkan kerjasama strategik termasuk dalam sektor minyak dan gas bagi membuka peluang pertumbuhan baharu.

 

Menurut Saliran, pada 6 Ogos, kumpulan itu menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) selama setahun dengan Maoming Port Group Co Ltd dari China dan PCA Group Sdn Bhd untuk meneroka kerjasama strategik bersama. - DagangNews.com