Salcon terima kontrak RM167 juta daripada Pengurusan Aset Air bina loji rawatan air di Melaka | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Salcon terima kontrak RM167 juta daripada Pengurusan Aset Air bina loji rawatan air di Melaka

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Mac - Salcon Bhd menerusi Salcon Engineering Bhd menerima kontrak RM167 juta daripada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bagi pembinaan loji rawatan air baharu, saluran paip air mentah dan infrastruktur berkaitan di Melaka.

 

Kumpulan itu berkata, projek itu merangkumi pembinaan, penyiapan dan pentauliahan saluran paip utama air mentah berdiameter 1200mm dan loji rawatan air dengan kapasiti 90 juta liter sehari.

 

Katanya, kerja-kerja pembinaan akan dimulakan selepas pemilikan tapak dengan penyiapan keseluruhan projek disasarkan dalam tempoh 30 bulan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Salcon Engineering, Jamiluddin Amini Sulaiman berkata, pihaknya berbesar hati menerima kontrak itu dan ia secara tidak langsung mengesahkan kepakaran kumpulan dan pembangunan infrastruktur air.

 

"Inisiatif ini akan meningkatkan bekalan dan pengagihan air terawat di daerah Alor Gajah dan kawasan sekitarnya, menyokong komitmen PAAB untuk memastikan akses air bersih untuk penduduk Melaka," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Kontrak itu mengukuhkan portfolio projek infrastruktur Salcon dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dan seterusnya.

 

Projek itu tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan pegangan saham pemegang saham yang besar dalam syarikat.

 

Kumpulan itu juga tidak meramalkan sebarang risiko luar biasa selain daripada risiko pelaksanaan yang berkaitan dengan projek.- DagangNews.com