KUALA LUMPUR 3 Mac - Saham Pantech Global Bhd dibuka 32% lebih rendah daripada tawaran awam permulaan (IPO) pada penampilan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia, hari ini.
Saham syarikat itu dibuka pada 46.5 sen berbanding harga IPO 68 sen. Saham itu kemudian terus menyusut sehingga 40 sen sebelum didagangkan pada 52.5 sen pada 9.30 pagi selepas hampir 44 juta saham bertukar tangan.
Prestasi lemah itu adalah disebabkan kebimbangan pelabur dan pemain industri keluli terhadap tarif import yang mungin menyebabkan lencongan dan lebihan produk di Asia Tenggara.
Pengarah Urusan Pantech, Adrian Tan berkata, pihaknya berbesar hati selepas berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia dan teruja dengan sambutan pelabur yang mencerminkan keyakinan terhadap kepakaran industri dan potensi jangka panjang kumpulan.
Belia berkata, semasa pelaksanaan pelan strategik itu, pihaknya kekal komited untuk mengukuhkkan kedudukan syarikat, mengembangkan jangkauan pasaran dan memacu nilai mampan untuk pemegang kepentingan syarikat.
"Penyenaraian kami di Bursa Securities hanyalah permulaan lembaran baharu yang menarik.
"Kami berharap untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara sebagai hab pembuatan dan eksport serta menyampaikan pertumbuhan dan pulangan yang mampan untuk pelabur kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Pantech Global mengkhusus dalam pembuatan dan eksport kelengkapan paip kimpalan dan paip keluli tahan karat yang direka untuk suhu dan tekanan tinggi, bahan menghakis dan persekitaran yang keras.
Produknya melayani pelbagai industri yang melibatkan penghantaran bendalir, termasuk minyak dan gas, petrokimia, kimia, semikonduktor, rawatan air dan pembinaan kapal.
Terdahulu, IPO kumpulan memperoleh RM178.31 juta daripada terbitan 262.23 juta saham pada 68 sen sesaham. Saham IPO telah terlebih langgan sebanyak 44.93 kali.
Pantech Global telah memperuntukkan kira-kira 74% atau RM132 juta daripada hasil IPO untuk pengembangan perniagaan dan perbelanjaan modal bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai pengeluar dan pengeksport utama rumusan penghantaran bendalir.
Syarikat induknya, Pantech Group Holdings Berhad, kekal sebagai pemegang saham majoriti dengan 69.15% kepentingan.
Alliance Islamic Bank Berhad merupakan penasihat utama, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO Pantech Global. - DagangNews.com








