Saham KUB tiada lagi 10 Nov di Bursa Malaysia, bertukar menjadi JAG Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham KUB tiada lagi 10 Nov di Bursa Malaysia, bertukar menjadi JAG Capital

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 6 Nov - Bursa Malaysia mengumumkan penukaran nama kaunter saham KUB Malaysia Bhd kepada JAG Capital Bhd mulai 9 pagi, 10 November 2025.

 

“Walaupun nama singkatan saham akan berubah daripada ‘KUB’ kepada ‘JAGCPTL’, kod saham syarikat kekal tidak berubah,” menurut Bursa dalam kenyataan hari ini.

 

Pada waktu artikel ini ditulis, saham KUB diniagakan pada harga 87 sen, susut tiga sen berbanding penutupan pada 90 sen pada 5 November, dengan kira-kira 502,800 saham bertukar tangan.

 

 

 

 

 

 

Penjenamaan semula ini dilihat sebagai langkah strategik untuk menyatukan identiti korporat kumpulan di bawah jenama JAG, sekali gus menggambarkan aspirasi baharu dalam memperluas aktiviti perniagaan dan meningkatkan nilai kepada pemegang saham.

 

KUB sebelum ini terlibat dalam pelbagai bidang termasuk tenaga, perladangan, telekomunikasi dan makanan, dan kini dilihat sedang menstruktur semula portfolio bagi memberi tumpuan kepada sektor-sektor yang lebih menguntungkan dan berimpak jangka panjang.

 

Pemegang saham utama KUB ialah JAG Capital Holdings Sdn Bhd, sebuah syarikat pelaburan milik Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani. Johari memegang 62.8% kepentingan dalam KUB dan 32.9% dalam CI Holdings Bhd, yang turut disenaraikan di Bursa Malaysia.

 

Anak beliau, Amir Nashrin Johari, turut menganggotai kedua-dua lembaga pengarah — sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Tidak Bebas di KUB dan Pengarah Eksekutif di CI Holdings.

 

 

 

 

 

 

Penukaran nama kepada JAG Capital bukan sekadar perubahan kosmetik, sebaliknya menandakan kesediaan kumpulan untuk bergerak ke hadapan dengan struktur pengurusan dan strategi pelaburan yang lebih mantap di bawah kepimpinan baharu.

 

Syarikat dijangka melaksanakan perubahan nama ini dalam semua komunikasi, dokumen korporat dan bahan penjenamaan rasmi berkuat kuasa seiring dengan tarikh penguatkuasaan dagangan baharu di Bursa Malaysia. - DagangNews.com