KUALA LUMPUR 15 Mei – Public Investment Bank (PublicInvest) menjangkakan Bus Cap Bhd mampu menawarkan pulangan positif menjelang penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia, disokong prospek pertumbuhan industri pembuatan bas serta pengembangan kapasiti operasi syarikat.
PublicInvest menetapkan nilai wajar Bus Cap pada RM0.28 sesaham berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) RM0.23 dengan potensi kenaikan sekitar 21.7%.
Firma penyelidikan itu berkata penilaian tersebut dibuat berdasarkan kaedah nisbah harga kepada pendapatan (PER) sekitar 8 kali bagi anggaran pendapatan sesaham (EPS) tahun kewangan 2027, yang juga mencerminkan diskaun kira-kira 20% berbanding purata PER pesaing tempatan sekitar 10 kali.
Bus Cap merupakan pengeluar bas bersepadu di Malaysia yang terlibat dalam reka bentuk, fabrikasi, pemasangan sehingga penyelenggaraan badan bas dengan pengalaman lebih 58 tahun dalam industri berkenaan.
Syarikat ini menawarkan pelbagai jenis bas termasuk satu tingkat dan dua tingkat dengan keupayaan menghasilkan produk mengikut spesifikasi pelanggan melalui reka bentuk dalaman.
PublicInvest berkata industri pembuatan bas di Malaysia disokong oleh permintaan struktur jangka panjang, khususnya melalui kitaran penggantian kenderaan wajib seperti had usia bas, selain sokongan dasar kerajaan terhadap pengangkutan awam.
“Antara pemacu utama lain ialah pemulihan sektor pelancongan serta peningkatan perjalanan antara negeri dan rentas sempadan yang terus merangsang permintaan terhadap bas ekspres dan bas pelancongan.
“Bus Cap turut mencatat pertumbuhan hasil yang kukuh dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sekitar 15% bagi tempoh tiga tahun akan datang, disokong peningkatan jualan, harga jualan purata lebih tinggi serta kecekapan operasi.
“Dari segi struktur hasil, syarikat ini sangat bergantung kepada jualan bas yang menyumbang lebih 97% daripada jumlah pendapatan, manakala segmen baik pulih dan penyelenggaraan menyumbang bahagian kecil,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.
Peralihan daripada pengeluaran bas satu tingkat kepada bas separa tinggi dan bas dua tingkat turut menjadi pemacu penting kepada peningkatan harga jualan purata serta margin keuntungan syarikat.
Dari segi prestasi kewangan, margin keuntungan kasar Bus Cap meningkat daripada 13.7% pada FY22 kepada 21.6% pada FY24, sebelum sedikit menurun kepada 20.6% pada FY25 berikutan kenaikan kos input, kos subkontraktor serta kesan peningkatan gaji minimum.
ARTIKEL BERKAITAN: Bus Cap sasar kumpul RM24.69 juta menerusi IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia
Walaupun begitu, syarikat masih mengekalkan margin yang stabil sekitar 20% hasil kecekapan operasi dan skala pengeluaran yang lebih tinggi.
Bus Cap juga mencatat pertumbuhan pendapatan yang kukuh dengan peningkatan daripada RM56.4 juta pada FY24 kepada RM88.1 juta pada FY25, disokong peningkatan jumlah unit bas yang dijual.
PublicInvest berkata dari segi operasi, syarikat bergantung kepada tenaga kerja intensif dengan kira-kira 79% pekerja pengeluaran terdiri daripada pekerja asing yang mendedahkan operasi kepada risiko perubahan dasar buruh serta kekangan tenaga kerja.
“Sebarang kekurangan tenaga kerja asing boleh menjejaskan jadual pengeluaran serta meningkatkan kos operasi syarikat,” katanya.
Dalam pada itu, Bus Cap juga sedang melaksanakan rancangan pengembangan melalui pembinaan kilang baharu di kawasan bersebelahan fasiliti sedia ada di Ipoh, Perak yang akan dilengkapi barisan fabrikasi separa automatik.
Melalui pelaburan ini, kapasiti pengeluaran dijangka meningkat sekitar 15% kepada 194 unit bas setahun, selain mempercepatkan masa pengeluaran dan meningkatkan kecekapan operasi.
Dana daripada IPO berjumlah kira-kira RM24.7 juta akan digunakan untuk pembinaan kilang baharu, pembelian mesin, modal kerja serta perbelanjaan penyenaraian.
Dari sudut kewangan, struktur kunci kira-kira syarikat turut bertambah baik dengan nisbah gearing kasar dijangka menurun daripada 0.27 kali kepada 0.14 kali selepas penyenaraian, mencerminkan pengurangan beban hutang.
Selain itu, kos waranti Bus Cap kekal rendah pada paras bawah 0.2% daripada hasil sepanjang tempoh FY22 hingga FY25, menunjukkan kawalan kualiti produk yang baik dalam operasi syarikat.
Secara keseluruhan, PublicInvest menyifatkan Bus Cap sebagai syarikat yang berada dalam industri yang mempunyai permintaan stabil dengan prospek pertumbuhan sederhana, disokong pengembangan kapasiti, namun pelabur perlu mempertimbangkan risiko persaingan serta kebergantungan kepada tenaga kerja asing. - DagangNews.com








