KUALA LUMPUR 20 Feb – Saham bermodal kecil terus meraih tumpuan pelabur di Bursa Malaysia apabila beberapa kaunter melonjak mengatasi prestasi pasaran keseluruhan, menurut Public Investment Bank.
Firma penyelidikan tersebut merujuk prestasi BCM Alliance Berhad yang mendahului saham berharga rendah apabila menggandakan nilai kepada 10 sen setakat tahun ini (YTD) dengan kenaikan 100%.
Menurut data yang dikumpulkan firma berkenaan, kumpulan tersebut mencatat peningkatan yang paling besar, sekali gus menjadikannya peneraju prestasi dalam kalangan saham bermodal kecil di bursa.
"Turut melonjak ketara ialah GuocoLand Malaysia Bhd (+81.2% kepada RM1.06), Globaltec Formation Bhd (+79.4% kepada RM1.13), serta Mikro MSC Bhd (+72.9% kepada 41.5 sen)," kata PublicInvest.
Sementara kaunter lain yang berada dalam senarai teratas itu ujarnya, termasuk Nexgram Holdings Bhd (+66.7% kepada 25 sen) dan Boustead Heavy Industries Corp Bhd (+62.5% kepada 45.5 sen).
Dalam pada itu jelas firma tersebut, prestasi yang disifatkan sebagai sederhana kukuh juga direkodkan oleh saham GO Hub Capital Bhd (+57.1%), Knusford Bhd (+55.2%) dan Sorento Capital Bhd (+50%).
PublicInvest berpandangan lonjakan ini lebih mencerminkan aliran kecairan dan momentum dagangan berbanding pemulihan pasaran secara menyeluruh, apabila pelabur beralih kepada saham harga murah.
"Minat dagangan kini turut meningkat dalam beberapa saham bermodal kecil terpilih termasuk Sunzen Biotech Bhd dan Marine & General Bhd, disokong naratif prospek pemulihan yang tertentu," katanya.
Tambahnya, kedua-dua kaunter berkenaan menunjukkan petunjuk teknikal awal kemungkinan pembalikan trend berlaku sekiranya didorong faktor peningkatan volum dan tekanan belian secara berterusan.
Marine & General (M&G) jelas PublicInvest, dilihat menghampiri fasa teknikal kritikal selepas bergerak dalam saluran mendatar, dengan potensi membawa pulangan sekitar 8.3% hingga 16.6%.
Bagaimanapun kata firma penyelidikan tersebut, kegagalan M&G mengekalkan paras sokongan 16.5 sen boleh mencetuskan isyarat henti rugi, dengan 15 sen dikenal pasti sebagai ambang risiko.
"Bagi Sunzen pula, kaunter ini berpotensi keluar daripada aliran turun sebelum ini, dan penembusan rintangan 27.5 sen dengan minat belian baharu boleh mendorong harga ke paras 29.5 sen," jelasnya.
Secara keseluruhan, PublicInvest menegaskan lonjakan saham bermodal kecil pada ketika ini didorong oleh isu kecairan dan sentimen dagangan jangka pendek, dengan pergerakan harga yang amat sensitif.
Ini termasuk ke atas volum serta momentum pasaran, dengan pelabur dinasihatkan menilai tahap risiko memandangkan sifat pergerakan yang lebih bersifat spekulatif. - DagangNews.com








