KUALA LUMPUR 2 Julai - ASM Automation Group Bhd dibuka tidak berubah pada 17 sen sesaham dalam penampilan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia, hari ini.
Harga saham itu adalah sama dengan tawaran awam permulan (IPO) mereka sebanyak 17 sen sesaham.
Saham syarikat naik satu sen sebelum jatuh semula dalam tempoh kurang daripada seminit dagangan.
Pada pukul 9.30 pagi, ASM Automation kekal tidak berubah walaupun sebanyak 27 juta saham telah bertukar tangan. Pada harga terakhir, syarikat tersebut mencatatkan permodalan pasaran sedikit di bawah RM91 juta.
Walaupun permintaan daripada pelabur awam individu melebihi jumlah saham yang ditawarkan untuk langganan sebanyak 1.27 kali, saham yang diperuntukkan kepada Bumiputera yang diluluskan melalui penempatan khas tidak dilanggan sepenuhnya dan terpaksa diagihkan semula kepada pelabur lain.
Pengarah Urusan ASM Automation, Chan Kok Heng berkata, penyenaraian di Pasaran ACE merupakan bukti dedikasi kumpulan dan keyakinan pelabur terhadap syarikat.
Beliau berkata, modal yang diperoleh melalui IPO itu akan mengukuhkan kedudukan operasi serta meningkatkan inovasi kumpulan.
"Kami kekal komited untuk memberikan kecemerlangan dalam kejuruteraan dan mencipta nilai yang mampan untuk semua pemegang kepentingan kami," katanya dalam satu kenyataan.
Syarikat itu berhasrat mengumpul sehingga RM21.82 juta melalui terbitan saham baharu bagi tujuan pembelian tanah untuk kilang baharu, pembelian mesin baharu dan pengembangan modal kerja.
ASM menawarkan sistem automasi pemprosesan hadapan dan pembungkusan akhir barisan pengeluaran. Perkhidmatannya merangkumi pengubahsuaian dan naik taraf mesin, sokongan penyelenggaraan serta pembekalan komponen dan alat ganti.
Selepas penyenaraian, pegangan saham Kok Heng akan berkurang kepada 50.9% daripada 77.5%, manakala pegangan Weng Khin akan jatuh kepada 15.1% daripada 22.5%.
M&A Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO ini, manakala Eco Asia Capital Advisory Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat kewangan.- DagangNews.com








