KUALA LUMPUR 28 Ogos - Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan (PK) tidak sama sekali menambah kuasa Menteri Kewangan, sebaliknya kuasa Menteri Kewangan dihadkan dengan memperkenalkan mekanisme semak dan imbang yang lebih kukuh.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, hakikatnya, selama ini, kuasa Menteri Kewangan dalam hal ehwal perolehan telah diperuntukkan di bawah Seksyen 6(1) Akta Tatacara Kewangan 1957, yang memberi kuasa menyeluruh atas dasar, kelulusan dan pengecualian berkaitan perolehan kerajaan.
"Di bawah RUU PK ini, kewajipan dan kuasa Menteri Kewangan dalam urusan perolehan diperuntukkan dengan jelas secara perundangan.
"Berbeza daripada keadaan semasa, keputusan Menteri Kewangan kini boleh dicabar dan dikaji semula melalui proses Panel Kajian Semula, dan seterusnya Tribunal Rayuan Perolehan yang berkecuali.
"Tambahan pula, RUU PK ini turut memperkenalkan tindakan punitif atas sebarang pelanggaran, dan Menteri Kewangan juga tidak terkecuali daripada akauntabiliti sekiranya, gagal menzahirkan kepentingan atau campur tangan dalam proses perolehan," katanya dalam ucapan penggulungan RUU Perolehan Kerajaan peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.
Amir Hamzah menambah, selari dengan prinsip 'tiada siapa terkecuali daripada tindakan undang-undang', di bawah RUU PK ini, Menteri Kewangan juga boleh disabitkan kesalahan di bawah peruntukan undang-undang dan dikenakan tindakan punitif, sama ada denda atau penjara, sekiranya didapati bersalah.
"Ini jelas berbeza daripada keadaan semasa dan menjadi elemen kawalan baharu yang turut terpakai ke atas Menteri Kewangan. Seperti yang disebut, don’t let perfection be the enemy of good — RUU PK ini adalah satu penambahbaikan dan pembaharuan penting yang bukan sahaja memperkukuh tadbir urus, tetapi juga menghadkan kuasa Menteri Kewangan berbanding keadaan terdahulu," katanya.
Beliau menambah, bagi memelihara integriti Tribunal Rayuan Perolehan, RUU PK ini turut menetapkan supaya Menteri perlu melantik Pengerusi dan Timbalan Pengerusi daripada kalangan pegawai kehakiman dan perundangan.
Ahli Tribunal Rayuan Perolehan itu juga, katanya, tidak boleh dilantik dari kalangan pegawai Kementerian Kewangan bagi memastikan Tribunal berkecuali.
"Ahli tribunal juga tidak boleh dari kalangan anggota pentadbiran, termasuk mana-mana orang yang mempunyai kepentingan dalam mana-mana pembekal atau kontraktor," katanya.
Berhubung kebimbangan RUU PK ini akan menimbulkan konflik kepentingan di antara kuasa menetapkan kaedah perolehan dengan kuasa untuk meluluskan sesuatu perolehan, Amir Hamzah berkata, secara amnya, kuasa melulus yang dirujuk kepada Menteri Kewangan bagi membuat keputusan selaras Fasal 10 adalah mengikut nilai ambang iaitu melebihi RM50 juta melibatkan perolehan bekalan dan perkhidmatan, dan melebihi RM100 juta bagi perolehan kerja.
"Kaedah ini adalah mengikut tatacara sedia ada, namun telah diperkukuh di bawah RUU ini melalui penyataan pemberian kuasa yang jelas di bawah undang-undang, semak dan imbang serta penzahiran.
"Hanya perolehan yang melebihi nilai ambang atau sekiranya berlaku keputusan tidak sebulat suara di peringkat Lembaga Perolehan Kementerian berkenaan akan dirujuk kepada Kementerian Kewangan untuk diputuskan," katanya.
Amir Hamzah berkata, seperti mana yang ditetapkan melalui RUU PK, Menteri Kewangan, dalam membuat suatu proses melulus juga mesti membuat suatu penzahiran kepentingan mengikut Fasal 37(1) yang mana kegagalan membuat penzahiran adalah merupakan satu kesalahan jenayah, dan kesalahan memberi maklumat palsu adalah juga satu kesalahan jenayah di bawah Fasal 82.
"Menteri Kewangan juga, dalam proses membuat keputusan ini terlindung daripada campur tangan pihak-pihak yang ingin mengganggu proses perolehan mengikut kesalahan di bawah Fasal 38. Ini membolehkan Menteri Kewangan membuat keputusan secara objektif," katanya. - DagangNews.com








