Rohas Tecnic jual 30% pegangan dalam PMV Vietnam bernilai RM84.64 juta kepada K Water dari Korea | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Rohas Tecnic jual 30% pegangan dalam PMV Vietnam bernilai RM84.64 juta kepada K Water dari Korea

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 29 April - Rohas Tecnic Bhd memuktamadkan penjualan 30% pegangan sahamnya dalam syarikat Vietnam, Phu My Vinh Construction and Investment Corp (PMV), kepada Korea Water Resources Corp dari Korea Selatan pada nilai tunai sebanyak RM84.64 juta.

 

Rohas Tecnic berkata, perjanjian penjualan itu ditandatangani selepas kedua-dua pihak bersetuju dengan syarat awal rundingan eksklusif. 

 

"Penjualan ini dibuat bagi membolehkan syarikat menjana pulangan segera dan mengukuhkan kewangan syarikat," kata Rohas Tecnic dalam makluman di Bursa Malaysia. 

 

Syarikat itu menjangka akan meraih keuntungan bersih sebanyak RM22.15 juta daripada penjualan tersebut, selepas menolak nilai aset yang dijual dan kos termasuk cukai serta perbelanjaan berjumlah RM8.6 juta.

 

Katanya, daripada jumlah hasil penjualan itu, sebanyak RM33.31 juta akan digunakan untuk membayar semula pinjaman, RM29.63 juta bagi keperluan modal kerja, RM13.1 juta untuk pembayaran kepada pembekal, manakala baki selebihnya bagi membiayai cukai dan kos berkaitan transaksi.

 

Menurut Rohas Tecnic, nilai jualan berkenaan dibuat berdasarkan aset bersih PMV pada akhir 2024, kos pelaburan syarikat sebanyak RM44.48 juta dan keuntungan yang dijangka diperoleh daripada penjualan tersebut.

 

PMV terlibat dalam pelaburan, pembinaan dan operasi loji rawatan air serta sistem bekalan air di Vietnam. 

 

K-Water pula merupakan entiti milik penuh kerajaan Korea Selatan yang bertanggungjawab dalam pembangunan dan pengurusan sumber air di negara itu.

 

Dari segi prestasi kewangan, PMV mencatatkan keuntungan bersih tidak teraudit sebanyak RM7.82 juta dengan pendapatan sebanyak RM35.15 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024. 

 

Ini berbanding keuntungan bersih teraudit RM4.54 juta pada 2023, RM7.82 juta pada 2022 dan RM5.17 juta pada 2021.

 

Pelupusan tersebut tidak memerlukan kelulusan pemegang saham, tetapi tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa Vietnam. 

 

Rohas Tecnic menjangkakan transaksi berkenaan akan selesai pada suku ketiga tahun 2025. - DagangNews.com