RichTech diyakini terima manfaat daripada industri tambah nilai dan pembayaran bil elektronik, kata TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RichTech diyakini terima manfaat daripada industri tambah nilai dan pembayaran bil elektronik, kata TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Jan - RichTech Digital Bhd yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia diyakini menerima manfaat daripada industri perkhidmatan tambah nilai dan pembayaran bil elektronik yang sedang berkembang pesat, berikutan kelebihan daya saingnya dalam sektor itu.

 

TA Securities berkata, pengedar tambah nilai elektronik dan penyedia perkhidmatan pembayaran bil mempunyai kelebihan daya saing utama termasuk mempunyai pangkalan pengguna rangkaian yang besar, rangkaian perkhidmatan yang luas dan pasukan pengurusan yang berpengalaman.

 

Menurut laporan penyelidikan pasaran bebas yang disediakan Providence Strategic Partners, saiz industri tambah nilai elektronik dan perkhidmatan pembayaran bil di Malaysia dianggarkan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun sebanyak 11.5% antara 2024 dan 2026.

 

"Industri ini dijangka dipacu oleh transformasi digital yang berterusan dalam kedua-dua sektor swasta dan awam.

 

"Kumpulan itu kini mempunyai lebih 800 pengguna korporat SRS, terdiri daripada peruncit tambah nilai seperti penjual semula, kedai telefon bimbit, kedai runcit dan kedai pakaian, serta pengendali aplikasi mudah alih pihak ketiga," katanya dalam satu nota kajian.

 

Melalui rangkaian pengguna korporat SRS ini, kumpulan itu memperluaskan perkhidmatannya kepada lebih empat juta pengguna sepanjang tahun kewangan 2023.

 

Platform SRS merupakan sistem yang dibangunkan secara dalaman syarikat. Platform itu menyediakan rangkaian luas tambah nilai elektronik dan perkhidmatan pembayaran bil, membolehkan kumpulan itu memenuhi keperluan pengguna yang pelbagai.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pada masa hadapan, ia meramalkan hasil dan keuntungan teras yang lebih kukuh, disokong oleh pelan perniagaannya dan prospek industri yang sihat.

 

Tawaran awam permulaan syarikat itu dijadualkan pada 17 Februari 2025. - DagangNews.com