RHB Research semak turun unjuran untung Axiata, CelcomDigi, Maxis, OCK sehingga FY2027 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Research semak turun unjuran untung Axiata, CelcomDigi, Maxis, OCK sehingga FY2027

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 24 Sept - Walaupun kebanyakan pengendali mengekalkan panduan hasil dan EBITDA untuk tahun kewangan 2025 (FY25), RHB Research telah menyemak turun unjuran keuntungan bagi Axiata, CelcomDigi, Maxis dan OCK sehingga FY27.

 

Prestasi Axiata terjejas akibat pengukuhan ringgit, faktor luar biasa serta peruntukan rosot nilai.

 

Namun begitu, kumpulan itu mendapat manfaat daripada kos pembiayaan yang lebih rendah selepas melunaskan hutang pegangan berjumlah AS$250 juta (sekitar RM1.1 bilion) pada 2Q25. Penjimatan faedah tambahan dijangka pada 2H25 dan FY26, disokong oleh hasil daripada penjualan operasi menara di Myanmar.

 

RHB turut memberi amaran, sektor telekomunikasi masih berdepan risiko utama termasuk persaingan semakin sengit, margin keuntungan lebih lemah daripada jangkaan, turun naik mata wang asing serta kemungkinan perubahan peraturan.

 

Telko Malaysia Tunjuk Daya Tahan Dalam 2Q25 Walau Pertumbuhan Hasil Perlahan

Sektor telekomunikasi Malaysia terus menunjukkan daya tahan keuntungan pada suku kedua 2025, dengan kebanyakan pengendali mencatatkan keputusan selaras dengan jangkaan, menurut RHB Investment Research.

 

Walaupun momentum hasil kekal sederhana, pengurusan kos yang ketat membolehkan EBITDA sektor terus bertahan.

 

RHB mengekalkan saranan NEUTRAL terhadap sektor ini, dengan Telekom Malaysia (TM), CelcomDigi dan Axiata Group disenaraikan sebagai pilihan utama.

 

“Tekanan kos masih dapat diuruskan dengan baik, dengan EBITDA bertahan walaupun pertumbuhan hasil lemah. Kami terus menggemari pemain talian tetap kerana pemangkin struktur serta profil keuntungan yang lebih stabil,” kata firma penyelidikan itu.

 

Prestasi Sektor: Malaysia Antara Terbaik di ASEAN

Sehingga kini (YTD), saham telko Malaysia mencatatkan pulangan 6% – kedua tertinggi dalam ASEAN selepas Singapura (+18%), mengatasi Indonesia (+5.3%) dan Thailand (+1.5%).

 

Mengikut saham, Time dotCom mendahului dengan kenaikan 19% (sebahagian besarnya direkod pada 1H25), diikuti Axiata (+12% YTD, melonjak 29% dalam tiga bulan terakhir) dan TM (+9% YTD). Sementara itu, Maxis dan CelcomDigi kekal mendatar dengan kenaikan hanya 1–2% YTD.

 

Mudah Alih: ARPU Terus Tertekan

Hasil perkhidmatan mudah alih merosot 1.2% YoY pada 2Q25 (1H25: -1.4% YoY) apabila purata hasil setiap pengguna (ARPU) bagi dua pengendali utama turun 1.5%, dipengaruhi penggabungan SIM dan persaingan harga yang agresif.

 

Namun begitu, EBITDA sektor (tidak termasuk Axiata) meningkat 1% YoY. Maxis menonjol dengan pertumbuhan EBITDA 5%, meningkatkan perkongsian EBITDA kepada 44.1%.

 

Kos akses 5G bagi pengendali kekal stabil sekitar RM50–55 juta, walaupun jumlah pelanggan 5G melonjak 45% suku ke suku.

 

Sementara itu, perbincangan dengan Kerajaan masih berjalan berhubung peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas sewaan menara, yang berpotensi mengurangkan keuntungan telko sebanyak 1–5% setahun dalam senario terburuk.

 

Jalur Lebar Gentian: TM Merosot, Pesaing Lebih Kukuh

Hasil talian tetap susut 3.3% YoY pada 2Q25, dipacu oleh kemerosotan hasil internet runcit TM (-4.7%), menandakan penurunan untuk dua suku berturut-turut akibat persaingan harga serta pertumbuhan pelanggan yang perlahan.

 

Sebaliknya, hasil kediaman Maxis (termasuk jalur lebar tanpa wayar) kekal stabil, manakala Time dotComC dan CelcomDigi mencatatkan pertumbuhan hasil gentian lebih kukuh (+3–9% QoQ), disokong oleh peluasan rangkaian serta tawaran pakej berlonggok. - DagangNews.com