RHB Research potong unjuran pendapatan Matrix Concepts sebanyak 2% pada FY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Research potong unjuran pendapatan Matrix Concepts sebanyak 2% pada FY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Mac - RHB Research mengurangkan unjuran pendapatan Matrix Concepts Holdings Bhd sebanyak 2% pada FY25 kesan daripada perbelanjaan pentadbiran yang lebih tinggi daripada jangkaan.

 

Katanya, disebabkan gangguan sementara dalam pengebilan, jualan tidak dibil meningkat kepada RM1.42 bilion berbanding RM1.32 bilion dengan jangkaan pendapatan kumpulan meningkat pada suku tahun akan datang.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keputusan Matrix Concepts pada 3QFY25 adalah di bawah anggaran dengan hasilnya dipengaruhi jualan lebih lemah daripada unit pembangunan hartanah disebabkan masa pelancaran, manakala bonus kakitangan dan kewangan yang lebih tinggi menyebabkan tekanan pendapatan.

 

"Jualan hartanah pada 9MFY25 ialah sebanyak RM1.02 bilion, berbanding sasaran tahun penuh kumpulan sebanyak RM1.3 bilion.

 

"Kami menjangkakan pendapatan kumpulan meningkat pada 4QFY25, dan pelancaran Malaysia Vision Valley (MVV) City pada FY26 sepatutnya mula menyumbang secara positif tahun depan," katanya dalam satu nota kajian.

 

RHB Research berkata, projek bernilai kira-kira RM1.16 bilion sudah dilancarkan setakat ini dengan projek yang dirancang untuk 3QFY25 kebanyakannya dilancarkan pada Disember 2024, termasuk Bayu Sutera 10, dan Suria Height Fasa 1.

 

Katanya, sambutan untuk projek baharu ini adalah menggalakkan, dengan kadar pengambilan sebanyak 60% dan 37% dicapai dalam masa sebulan.

 

"Melangkah ke hadapan, MVV City harus mula menyumbang hasil kumpulan pada FY26, kerana syarikat itu telah mula memasarkan plot tanah perindustrian dan difahamkan beberapa tempahan sudah diterima," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM1.81 sesaham.- DagangNews.com