KUALA LUMPUR 26 Jun — ISF Group Berhad berdepan risiko kelembapan penambahan kontrak baharu serta kemungkinan berlaku lebihan kos projek sukar dipulihkan daripada pelanggan, menurut RHB Research.
Bagaimanapun jelas firma penyelidikan tersebut, prospek pertumbuhan syarikat berkenaan dilihat adalah kekal cerah dengan disokong kukuh oleh pembangunan pesat banyak pusat data (DC) di Johor.
Ujarnya, sebagai penyedia rumusan sistem saliran menyeluruh, ia berada pada kedudukan strategik memanfaatkan pertumbuhan pesat industri, khususnya kerja-kerja penyejukan dan perpaipan air.
"Kami menetapkan nilai saksama (FV) 70 sen sesaham berdasarkan nisbah harga pendapatan (P/E) FY27 sebanyak 19.5 kali, sambil menyifatkan penilaian semasa ISF masih menarik," kata RHB Research.
Tambah firma berkenaan, saham kumpulan itu ketika ini diniagakan pada 14.2 kali P/E FY27, iaitu 0.5 sisihan piawai di bawah purata lima tahun Indeks Pengeluaran Perindustrian Bursa Malaysia.
Ia berpandangan yang prospek pengisian semula kontrak baharu, khususnya daripada sektor DC, menjadikan penilaian semasa syarikat tersebut sebagai tidak membebankan untuk mudah dicapai.

Bagi tahun kewangan 2025 (FY25) jelas RHB Research, sebanyak 50.8% hasil ISF disumbangkan oleh projek DC, sekali gus menjadikan segmen tersebut penyumbang terbesar kepada pendapatan syarikat.
"Untung diunjur berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) tiga tahun sebanyak 14% dari FY25 hingga FY28, dipacu peluang perkembangan di Johor menerusi banyak pembangunan," katanya.
Antaranya sektor hartanah industri di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta projek perumahan berhampiran stesen Rapid Transit System (RTS) Bukit Chagar, yang dijangka lebih pesat.
Setakat 31 Mac 2026 ujar RHB Research, ISF memiliki buku tempahan berjumlah RM135.2 juta dengan projek perumahan dan DC masing-masing menyumbang 59% dan 19% daripada keseluruhan tempahan.
Firma itu menjangka ia mampu memperoleh kontrak baharu bernilai RM130 juta dalam tempoh 12 bulan berdasarkan kadar kejayaan tender sebanyak 30%, dengan 60% daripadanya melibatkan projek DC.
"Keadaan ini membolehkan syarikat mencapai sasaran pengisian semula kontrak baharu sebanyak RM140 juta, dan setakat tahun kewangan semasa, ia meraih kontrak baharu bernilai RM47 juta," tambahnya.
RHB Research berkata, pengkhususan ISF dalam kerja integrasi sistem peringkat kedua DC, khususnya penyejukan dan perpaipan air membolehkan margin keuntungan kasar kekal lebih 20%. - DagangNews.com








