Reservoir Link terima kontrak perkhidmatan pembaikan kebocoran telaga daripada Hibiscus Oil & Gas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Reservoir Link terima kontrak perkhidmatan pembaikan kebocoran telaga daripada Hibiscus Oil & Gas

Gambar hiasan www.iogse.gov.my

KUALA LUMPUR 25 Sept - Reservoir Link Energy Bhd menerima kontrak daripada Hibiscus Oil & Gas Malaysia Limited (HML) bagi penyediaan peralatan dan perkhidmatan pembaikan kebocoran telaga.

 

Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, Reservoir Link berkata, anak syarikat milik penuhnya, Reservoir Link Sdn Bhd (RLSB) menerima Surat Anugerah (LOA) daripada HML pada 19 September 2024.

 

Kumpulan itu berkata, kontrak tersebut termasuk kerja-kerja perundingan kejuruteraan mengenai isu kebocoran telaga, perkhidmatan diagnostik dan pembaikan kebocoran telaga termasuk penyediaan kakitangan, produk serta peralatan berdasarkan panggilan.

 

Mereka juga akan menyediakan bekalan peralatan, perkhidmatan, pengedap tekanan diaktifkan dan pengedap masa diaktifkan bagi membaiki kebocoran pada peralatan serta lubang bawah selain menjalankan ujian ke atas keberkesanan penedap dalam persekitaran tekawal.

 

"Kontrak itu adalah bagi tempoh tiga tahun bermula 19 September 2024 hingga 18 September 2027," katanya hari ini.

 

Menurut Reservoir Link, kontrak ini adalah berdasarkan asas panggilan dan nilai keseluruhan kontrak akan ditentukan berdasarkan kerja yang telah selesai dengan memuaskan oleh RLSB setelah penerbitan pesanan daripada HML untuk kerja dan mengikut harga dan kadar dalam kontrak.

 

"Kontrak ini tidak akan memberi kesan kepada modal saham dan struktur pemegangan saham Syarikat dan tidak akan ada kesan segera ke atas aset bersih setiap saham dan nisbah hutang Syarikat. 

 

"Namun, Kontrak ini dijangka memberikan sumbangan positif kepada pendapatan Syarikat dan anak-anak syarikatnya (Kumpulan) untuk tahun kewangan yang berakhir pada 30 Jun 2025 dan sepanjang tempoh kontrak," jelasnya. - DagangNews.com