KUALA LUMPUR 10 Julai – GFM Services Berhad mengukuhkan kedudukan dalam industri penyelenggaraan loji petroleum selepas memperoleh dua tempahan kerja berjumlah RM148.2 juta di Pengerang, Johor.
Kontrak itu melibatkan kerja-kerja baik pulih menyeluruh di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), sekali gus meningkatkan keterlihatan pendapatan segmen tenaga kumpulan itu sehingga tahun kewangan 2027.
Katanya, tender berkenaan diterima oleh subsidiari tidak langsungnya, HIMS Integrated Services Sdn Bhd, daripada Pengerang Petrochemical Company Sdn Bhd dan Pengerang Refining Company Sdn Bhd.
"Ia meliputi aktiviti penyelenggaraan penuh di bawah kontrak yang sedia ada 'Integrated Turnaround Main Mechanical and Maintenance Mechanical Static (TA4MS)," maklum GFM kepada Bursa Malaysia.
Projek tersebut merupakan kitaran pemulihan pertama di PIC sejak kompleks hiliran bersepadu itu memulakan operasi pada 2019, dan menjadi antara kerja penyelenggaraan yang terbesar di Malaysia.
Kumpulan tersebut menambah, skop kerja yang diperoleh membabitkan jumlah jam kerja yang tinggi, mencerminkan skala serta kerumitan aktiviti penyelenggaraan berjadual di kompleks berkenaan.

Di samping itu, GFM menjangkakan pelaksanaan projek tersebut akan memberi sumbangan yang positif kepada pendapatan kumpulan berkenaan sendiri bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2027.
"Penerimaan tempahan kerja baharu ini turut merupakan pencapaian penting kepada kami, khususnya bagi segmen tenaga," menurut Pengarah Urusan Kumpulan, Ruslan Nordin menerusi satu kenyataan.
Pada masa sama syarikat berpeluang membuktikan keupayaan mengurus kerja berskala besar serta melaksanakan skop kompleks dalam persekitaran operasi hiliran yang dikawal selia secara ketat.
Beliau berkata, dengan pelbagai kerja dilaksanakan dalam satu kompleks bersepadu, projek itu dijangka menjadi antara terbesar selain menyediakan keterlihatan hasil yang kukuh kepada GFM.
Kumpulan juga kata Ruslan, menjangka memperoleh skop kerja tambahan berperingkat apabila aktiviti kerja di PIC berkembang, dengan pengumuman lanjut dibuat apabila kontrak baharu dimuktamadkan.
"Selain HIMS Integrated Services, segmen tenaga syarikat ini merangkumi Highbase Strategic Sdn Bhd, serta Shapadu CR Asia Sdn Bhd yang menjadi penyumbang utama kepada hasil kumpulan," jelasnya.
Pada suku pertama berakhir 31 Mac 2026, segmen itu menjana RM51.4 juta, iaitu 62.2% daripada jumlah pendapatan GFM, yang mencerminkan peranan penting dalam portfolio perniagaannya. - DagangNews.com








