Reservoir Link raih kontrak RM100 juta daripada Petronas Carigali | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Reservoir Link raih kontrak RM100 juta daripada Petronas Carigali

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Jun - Reservoir Link Energy Bhd menerusi Reservoir Link Sdn Bhd menerima kontrak kedua yang dianggar bernilai RM100 juta daripada Petronas Carigali Sdn Bhd pada tahun ini bagi penyediaan perkhidmatan Pembersihan Annulus dan Jaminan Simen (AWCA). 

 

Kumpulan telah menyediakan perkhidmatan itu sejak 2019, sekali gus membina rekod prestasi yang kukuh dan menunjukkan kepakaran yang diperlukan untuk melaksanakan kerja-kerja sedemikian. 

 

"Selaras dengan prestasi terdahulu, kontrak itu dijangka menjana pendapatan sehingga RM25 juta setahun. 

 

"Tempoh kontrak ini adalah selama empat tahun sehingga 2029, dengan jumlah nilai kontrak dianggarkan sebanyak RM100 juta," katanya dalam satu kenyataan.

 

Skop kontrak itu merangkumi penyediaan mekanisme bagi mewujudkan terowong/tetingkap peredaran, penawaran mekanisme cucian anulus bagi menghapuskan simen rosak dalam anulus tunggal/berganda melalui terowong/tetingkap yang diwujudkan serta penawaran mekanisme penempatan simen merentasi anulus.

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif Reservoir Link, Thien Chiet Chai berkata, kontrak itu merupakan yang kedua daripada Petronas Carigali pada 2025 dan ia bukan sahaja membuktikan kerja keras pasukan tetapi juga mengukuhkan lagi kehadiran pasaran pihaknya dalam industri minyak dan gas.

 

"Kami percaya kejayaan ini akan meletakkan kami pada kedudukan yang optimum untuk memperoleh lebih banyak kontrak, dengan memanfaatkan kepakaran yang telah kami bina serta kebolehpercayaan yang telah sinonim dengan nama kami.

 

"Pencapaian terkini ini menjadi asas kukuh untuk pertumbuhan berterusan dan perluasan kerjasama strategik, dan kami amat teruja untuk melihat peluang-peluang yang bakal hadir hasil momentum ini pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com