KUALA LUMPUR 21 Mac - Penyedia perkhidmatan berkaitan tenaga, Reservoir Link Energy Bhd mengumumkan, syarikat bersekutu milik 45% mereka, Founder Group Limited, memperoleh kontrak bernilai RM11.6 juta untuk membina kemudahan penjanaan solar di bumbung melibatkan sebuah syarikat yang tidak dinyatakan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Founder Group Limited, Lee Seng Chi, Founder Group akan bertindak sebagai kontraktor untuk kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) kemudahan penjanaan solar fotovoltaik (PV) di bumbung.
"Kontrak pembinaan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.
"Setelah kerja itu selesai, kami akan menandatangani perjanjian operasi dan penyelenggaraan untuk tempoh antara 15 hingga 21 tahun," katanya dalam satu kenyataan.
Jelas beliau, walaupun identiti pelanggan tidak didedahkan, ia melibatkan sebuah syarikat pemasangan solar terkemuka di Malaysia.
“Kami berbangga kerana memperoleh kontrak besar ini dan meneruskan kerjasama kami dengan sebuah perniagaan pemasangan solar utama di Malaysia.
“Kontrak ini akan memberikan pendapatan berulang dan pertumbuhan margin yang akan memberi nilai yang penting kepada pemegang saham kami,” jelasnya.
Founder Group adalah penyedia rumusan EPCC dari hujung ke hujung untuk kemudahan solar PV di Malaysia.
Fokus utama syarikat adalah projek solar berskala besar serta projek solar komersial dan industri (C&I). - DagangNews.com








