KUALA LUMPUR 19 Jun – Syarikat tenaga boleh diperbaharui , reNIKOLA Holdings Sdn Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, PT reNIKOLA Primer Energi (PT RPE) dan PT Pertamina Gas (Pertagas), menjalinkan kerjasama strategik bagi membangunkan perniagaan biogas di wilayah Sumatera dan Kalimantan.
Kerjasama tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur paip gas negara yang teguh dan bersepadu dari huluan hingga hiliran, termasuk memperkasa tenaga boleh diperbaharui (RE).
Perjanjian itu menandakan komitmen kedua-dua pihak dalam menyokong usaha mempercepatkan peralihan tenaga negara dan pengurangan pelepasan karbon melalui penggunaan tenaga boleh diperbaharui yang dihasilkan daripada sisa organik seperti efluen kilang minyak sawit (POME).
Presiden Pengarah Pertagas, Gamal Imam Santoso berkata, pihaknya melihat biogas sebagai sumber tenaga alternatif yang berpotensi tinggi dalam menyokong campuran tenaga negara.
"Kami yakin kerjasama ini akan memberi kesan nyata kepada sektor tenaga dan komuniti di sekitar kawasan operasi," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PT RPE, Dr Mohd Amran berkata, kerjasama itu merupakan pencapaian penting dalam memacu ekonomi hijau berasaskan sumber tempatan.
"Kami berharap kolaborasi bersama Pertagas dapat mempercepatkan pelaksanaan projek biometan yang memberi kesan sosial positif, khususnya di kawasan pengeluar sawit dan lokasi yang jauh daripada sumber bekalan tenaga sedia ada," katanya.
Namun begitu, beberapa cabaran seperti memastikan bekalan bahan mentah yang stabil, lokasi sumber bahan yang berselerak serta keperluan mematuhi peraturan tenaga hijau kekal menjadi isu utama.
Bagaimanapun, dengan kerjasama strategik dan sokongan pelbagai pihak berkepentingan termasuk sektor kerajaan dan swasta, ia mampu mengatasi cabaran tersebut.
Kerjasama itu dimeterai semasa acara Pertagas Integrated Pipeline and Energy Summit (PIPES) yang berlangsung di Jakarta dengan tema 'Accelerating Clean Energy Transition through Infrastructure Integration'.- DagangNews.com








