KUALA LUMPUR 27 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan 2025 sebagai langkah berani bagi menghapuskan ketirisan kewangan serta memperkukuh akauntabiliti dalam perbelanjaan kerajaan.
Beliau berkata, rang undang-undang itu yang memansuhkan kuasa mutlak menteri dalam penganugerahan projek dan memperkenalkan proses tender telus, menjadi bukti komitmen kerajaan dalam mereformasi amalan perolehan.
“Tidak banyak kerajaan, khususnya Menteri Kewangan, sanggup melepaskan kuasa meluluskan projek melalui rundingan terus.
“Tetapi rang undang-undang ini adalah langkah penting untuk memastikan projek tidak lagi dianugerahkan tanpa kaedah yang jelas dan boleh dipertanggungjawabkan,” katanya ketika membentangkan bacaan kali kedua rang undang-undang itu di Dewan Rakyat, hari ini.
Rang undang-undang yang pertama kali dibentangkan pada Isnin oleh Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying itu turut bertujuan meletakkan menteri dan pihak berkuasa di bawah semakan sewajarnya, dengan memansuhkan perlindungan undang-undang sekiranya berlaku kecuaian dalam pengurusan perolehan.
Anwar turut mengingatkan skandal-skandal lampau daripada skandal Maminco pada 1980-an, 1Malaysia Development Bhd (1MDB) hingga kontroversi Jana Wibawa baru-baru ini sebagai bukti mendesak perlunya ketelusan.
“Semua ini menjadi peringatan bahawa akauntabiliti bukan lagi satu pilihan, tetapi tuntutan yang wajib kita penuhi. Kita mesti memastikan peristiwa sebegini tidak berulang,” tegasnya.
Anwar berkata, Rang undang-undang ini merupakan antara reformasi utama kerajaan dalam memperkukuh mekanisme semak dan imbang, sekali gus mengembalikan keyakinan rakyat terhadap tadbir urus kewangan negara. - DagangNews.com








