KUALA LUMPUR 3 Sept — Ramssol Group Berhad berpotensi menjana aliran hasil berulang menerusi 10,000 tempat langganan bagi rumusan kecerdasan buatan (AI) dan pemantauan peranti sepanjang tiga tahun.
Komitmen itu muncul susulan pemeteraian kerjasama bernilai keseluruhan RM30.94 juta antara anak syarikatnya, Rams Aitech Sdn Bhd dengan Linear Channel Sdn Bhd bagi program baharu, GreenElite Pro.
Linear Channel menawarkan pakej penyewaan peralatan teknologi maklumat (IT) dilengkapi perisian AI serta perkhidmatan pemantauan peranti kepada pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
"Syarikat tersebut juga perlu bertanggungjawab menguruskan hubungan pelanggan, penggunaan peranti, perkhidmatan, bil dan kutipan bayaran," tambah Ramssol dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.
Rams Aitech pula jelasnya, akan membekalkan peranti serta menyediakan dan melesenkan perisian AI dengan pemantauan peranti yang diperlukan pelanggan PKS itu bagi pelaksanaan program berkenaan.
Kerjasama dimeterai itu meliputi beberapa perjanjian, termasuk Equipment Lease Agreement bernilai RM4.62 juta, Master Reseller Agreement (RM12.36 juta) dan Software Licence Agreement (RM6.27 juta).
Ia kata Ramssol, turut melibatkan Foundation Collaboration Agreement bernilai RM7.7 juta yang dimeterai pada Mac 2026, menjadikan nilai keseluruhan perjanjian kerjasama itu adalah RM30.94 juta.

"Bagi komitmen 10,000 tempat langganan, Linear Channel membayar Rams Aitech minimum RM343,200 sebulan, manakala setiap tambahan melebihi jumlah itu dikenakan bayaran RM34.32 sebulan," jelasnya.
Daripada keseluruhan tempat langganan itu, kira-kira 2,000 peranti baharu dibekalkan oleh Rams Aitech, manakala baki 8,000 tempat langganan menggunakan peranti sedia ada milik Linear Channel.
Perjanjian utama berkuat kuasa selama 36 bulan dari 2 September 2026, sekali gus memberikan tempoh panjang pelaksanaan program serta pengembangan penggunaan penyelesaian AI Ramssol dalam segmen PKS.
Kerjasama itu dijangka menyediakan aliran hasil berulang selain memperluas penggunaan rumusan AI dan perisian pemantauan peranti, serta berpotensi untuk dikembangkan ke pasaran Asia Tenggara.
"Di samping itu, kerjasama ini tidak dijangka memberi kesan material segera terhadap aset bersih, pendapatan sesaham atau gearing kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026," katanya.
Bagaimanapun tambah Ramssol, ia dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh 36 bulan perjanjian. - DagangNews.com








