Raih keuntungan: Battersea Power Station masih perlukan masa, fokus kini kepada Fasa 3C – Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Raih keuntungan: Battersea Power Station masih perlukan masa, fokus kini kepada Fasa 3C – Maybank IB

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 17 Sept – Projek Battersea Power Station (BPS) di London menunjukkan perkembangan memberangsangkan hasil transformasi besar-besaran daripada tapak brownfield kepada kawasan pembangunan bercampur yang kini meriah dengan apartmen, pusat beli-belah dan pejabat.

 

Namun, sumbangan keuntungan daripada projek tersebut dijangka masih memerlukan masa, dengan cabaran pasaran hartanah United Kingdom (UK) yang masih belum reda, kata firma penyelidikan Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Menurut firma tu, tumpuan semasa kini terarah kepada Fasa 3C, iaitu pembangunan kediaman khusus untuk warga emas, manakala fasa-fasa seterusnya hanya akan dilaksanakan bergantung kepada permintaan pasaran.

 

“Walaupun projek BPS telah menunjukkan kemajuan fizikal yang ketara dan jumlah pengunjung ke pusat beli-belah The Power Station (TPS) semakin meningkat, sumbangan kewangan kepada konsortium pembangunan kekal terhad dalam jangka masa terdekat,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

 

Lonjakan pelawat ke TPS, sewa baharu dijangka lebih tinggi

 

bsea
Gambar/ Maybank IB

 

Dalam lawatan tapak yang diadakan pada 9 September 2025, TPS dilihat semakin rancak dengan kunjungan lebih 13 juta pelawat sepanjang 2024, dan pertumbuhan sebanyak 10% tahun ke tahun direkodkan setakat ini.

 

Kemudahan pengangkutan turut bertambah baik dengan pengoperasian penuh stesen bawah tanah BPS, laluan pejalan kaki baharu serta akses menerusi Uber Boat dan bas.

 

Pembangunan pejabat bertaraf Green Premium turut mendapat sambutan, dengan salah satu penyewa utama bakal memperbaharui sewaan pada 2026 selepas tamat tempoh sewaan percuma pada September 2025. 

 

Kadar baharu dijangka lebih tinggi, selaras dengan permintaan pasaran bagi bangunan mesra alam.

 

Namun begitu, hasil sewa tambahan ini akan memanfaatkan pemilik aset utama, Permodalan Nasional Berhad (PNB) - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), manakala konsortium pemaju yang terdiri daripada Sime Darby Property dan SP Setia hanya memperoleh yuran pengurusan.

 

Firma itu berkata, peningkatan kadar sewaan dijangka menyumbang kepada penilaian semula harga TPS di bawah mekanisme pelarasan harga yang akan dikaji semula menjelang 2027. 

 

Ini dilihat berpotensi meningkatkan nilai keseluruhan pelaburan, walaupun kesan kewangan langsung kepada syarikat berkaitan masih terhad pada masa ini.

 

Kata firm itu lagi meskipun risiko besar projek mungkin telah berlalu, penganalisis menjelaskan bahawa pasaran hartanah UK, terutamanya segmen kediaman, masih mencabar dan pulangan keuntungan dijangka memakan masa.

 

“Di bawah pimpinan baharu CEO SPSB, pendekatan lebih menyeluruh atau ‘kitchen sink’ mungkin diambil bagi menilai semula strategi projek. 

 

 

 

 

 

 

 

 

"Buat masa ini, kami mengekalkan saranan HOLD dan harga sasaran RM1.10, berdasarkan penilaian 0.3 kali P/RNAV,” tambah mereka.

 

Secara keseluruhan kata Maybank IB, BPS dilihat sebagai projek jangka panjang yang strategik dan berpotensi tinggi, namun memerlukan kesabaran daripada pelabur kerana pulangan yang ketara dijangka hanya akan direalisasikan dalam beberapa tahun lagi – bergantung kepada sentimen pasaran dan kejayaan Fasa 3C. - DagangNews.com