KUALA LUMPUR 19 Feb – Radium Development Berhad melalui anak syarikat tidak langsungnya, Mayang Sepakat Sdn. Bhd telah menyempurnakan transaksi pembelian sebuah tanah pegangan pajakan berharga RM45 juta di Bandar Ampang, Selangor.
Ia adalah transaksi bukan antara pihak berkaitan di bawah Bab 10 Senarai Peraturan Bursa Malaysia.
Radium Development berkata Perjanjian Jual Beli bagi tanah tersebut telah menjadi tidak bersyarat pada 23 Julai 2025 selepas semua syarat dipenuhi.
“Tempoh penyempurnaan transaksi pada awalnya adalah sehingga 31 Disember 2025 dan kemudian dilanjutkan lagi hingga 31 Januari 2026 tanpa sebarang penalti atau faedah tambahan.
“Tanah tersebut diserahkan dalam keadaan kosong pada 31 Januari 2026, dan baki harga pembelian sebanyak RM31.5 juta dibayar sepenuhnya pada 13 Februari 2026.
“Dengan pembayaran ini, pembelian tanah tersebut telah diselesaikan sepenuhnya,” kata Radium Development kepada Bursa Malaysia.
Pada suku ketiga berakhir 30 September 2025 (3QFY2025) yang lalu, Radium Development mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM94.24 juta, meningkat dengan ketara berbanding RM4.81 juta tempoh sama tahun sebelumnya.
Keuntungan Radium Development itu melonjak susulan transaksi khas sebanyak RM123.7 juta daripada penjualan tanah kepada Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), bukannya daripada operasi harian syarikat.
Kumpulan itu akan meneroka segmen perniagaan penjagaan kesihatan dengan pembukaan hospital 140 katil di Ayer Keroh, Melaka.
Ia dijangka dibuka pada pertengahan 2028 untuk memberi pilihan rawatan kesihatan kepada penduduk sekitar kawasan itu dan menyokong aspirasi pelancongan berasaskan perubatan.
Namun, ia menegaskan sektor pembinaan hartanah akan kekal menjadi asas perniagaan teras dan pertumbuhan masa depan syarikat melalui beberapa projek berterusan dan pengambilalihan tanah di Lembah Klang. - DagangNews.com








