QL Resources kekal berdaya tahan di sebalik tekanan perdagangan global - UOBKH | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

QL Resources kekal berdaya tahan di sebalik tekanan perdagangan global - UOBKH

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 12 Jun – QL Resources Bhd kekal berdaya tahan walaupun berdepan tekanan daripada ketegangan perdagangan global dan semakan gaji minimum, namun segmen teras kumpulan dijangka berdepan prospek bercampur. 

 

UOB Kay Hian Research berkata, hanya 0.5% daripada jumlah jualan kumpulan melibatkan eksport ke Amerika Syarikat (AS), membabitkan produk berasaskan surimi.

 

"Perang tarif memberi kesan langsung minimum kepada syarikat.

 

"Namun, risiko tidak langsung seperti gangguan bekalan dan pengurangan perbelanjaan pengguna masih boleh menjejaskan operasi," katanya dalam satu nota kajian.

 

Sebanyak 27% daripada 12,000 tenaga kerja syarikat dijangka menerima manfaat daripada semakan gaji minimum, yang akan menambah kos sekitar RM10 juta atau 1.4% daripada unjuran untung kasar FY26.

 

QL Resources terlibat dalam segmen penternakan bersepadu (ILF), pembuatan produk marin dan aktiviti berkaitan minyak sawit di Malaysia, Indonesia dan Vietnam.

 

Bagi ILF, pemansuhan subsidi telur yang bermula secara berperingkat sejak 1 Mei daripada 10 sen kepada lima sen sebiji sebelum dimansuhkan sepenuhnya pada 1 Ogos 2025.

 

Syarikat sebelum ini menerima subsidi penuh 10 sen sebiji, namun selepas pemansuhan subsidi, margin dijangka susut kepada sekitar tiga sen hingga lima sen sebiji.

 

Bagi melindungi margin, syarikat akan memfokus kepada campuran produk yang lebih menguntungkan seperti jualan telur berjenama, yang kini menyumbang 20% daripada jumlah jualan telur.

 

Subsegmen perikanan dan tepung ikan pula terus berdepan tekanan, walaupun harga jualan tepung ikan stabil, permintaan kekal lemah disebabkan kelembapan aktiviti akuakultur global, selain kuota penangkapan ikan lebih tinggi di Peru yang berpotensi menekan harga.

 

Sebaliknya, prestasi surimi dan produk berasaskan surimi dijangka mencatat pertumbuhan positif pada FY26.

 

Bagi segmen minyak sawit, pertumbuhan disokong sumbangan daripada anak syarikat tenaga solar, Plus Xnergy Holdings Sdn Bhd, yang menawarkan rumusan tenaga boleh diperbaharui dan pematuhan ESG.

 

Namun, sumbangan sawit dijangka sederhana berikutan harga minyak sawit mentah (CPO) menurun kepada sekitar RM3,800 berbanding lebih RM4,200 pada suku keempat FY25, manakala pengeluaran tandan buah segar (BTS) dan kadar perolehan minyak kekal mendatar.

 

UOBKH mengekalkan saranan "pegang" ke atas saham QL Resources dengan harga sasaran tidak berubah pada RM4.80.- DagangNews.com