KUALA LUMPUR 4 Jun - QES Group Bhd kekal optimis terhadap prospek pendapatan bagi FY26 hingga FY27, disokong pemulihan kukuh dalam permintaan semikonduktor, peningkatan penggunaan kapasiti pembuatan serta peluang baharu daripada kerjasama strategik di China, menurut Public Investment Research (PublicInvest)
Firma penyelidikan itu berkata, pihak pengurusan yakin momentum tempahan semakin meningkat merentasi segmen pembuatan, dengan unjuran pertumbuhan lebih kukuh pada suku-suku akan datang, selain turut disokong oleh peningkatan pertanyaan daripada pelanggan sedia ada dan baharu.
Katanya, kerjasama baharu di China serta inisiatif pembungkusan lanjutan dijangka menjadi pemacu pertumbuhan material bermula FY27, selain menyumbang kepada pengukuhan asas pendapatan jangka panjang kumpulan.
Sehubungan itu, firma itu mengekalkan saranan Outperform dengan harga sasaran tidak berubah pada RM0.56 berdasarkan penilaian 20 kali gandaan pendapatan sesaham (EPS) FY27.
PublicInvest berkata, dalam perkembangan segmen semikonduktor, pengurusan memaklumkan sumbangan hasil daripada segmen berkenaan yang kini sekitar 19.3% dijangka meningkat ketara kepada 45% hingga 46% dalam beberapa suku akan datang, seiring peningkatan pelaburan pelanggan dalam pembungkusan cip lanjutan, fabrikasi wafer dan peralatan pemeriksaan.
Pertumbuhan tersebut turut disokong oleh peningkatan penghantaran penyelesaian Automated Handling System (AHS) dan Automated Optical Inspection (AOI), yang dijangka menjadi antara pemacu utama prestasi kumpulan sepanjang FY26.
Sementara itu, segmen pembuatan kumpulan dijangka mencatat keuntungan menjelang Jun 2026, dengan buku tempahan semasa berjumlah kira-kira RM37 juta.
Daripada jumlah itu, RM17 juta melibatkan projek teknologi perubatan (MedTech), manakala RM20 juta lagi datang daripada pelanggan semikonduktor tradisional, dengan sebahagian besar tempahan dijangka diiktiraf bermula suku kedua FY26.
Pengurusan turut menyatakan keyakinan terhadap pertumbuhan berterusan segmen MedTech yang kini semakin mendapat tarikan, khususnya melalui produk Smart Manufacturing Solutions yang dihantar kepada pengeluar peranti pemantauan glukosa darah global.
Katanya, pelanggan berkenaan sedang bersiap sedia melancarkan siri produk baharu, yang dijangka membuka peluang berulang susulan keperluan pensijilan yang ketat serta tahap kebergantungan pelanggan yang tinggi.
Berbeza dengan pengeluar kontrak tradisional, QES turut terlibat dalam pembangunan bersama produk dengan pelanggan berpangkalan di Amerika Syarikat, sekali gus berpotensi meningkatkan margin keuntungan serta memperkukuh hubungan jangka panjang pelanggan.
Dalam masa sama, kerjasama dengan Unicomp di China membolehkan QES memasarkan produk pemeriksaan X-ray lanjutan ke seluruh rantau ASEAN melalui rangkaian pengedaran antarabangsa kumpulan.
Pengurusan menganggarkan peluang pasaran peralatan pemeriksaan X-ray di ASEAN boleh menjana hasil sekitar AS$6 juta hingga AS$8 juta dalam tempoh terdekat.
Selain itu, kerjasama berasingan dalam segmen pembungkusan lanjutan dengan Customer X dijangka menjana hasil tahunan antara RM30 juta hingga RM50 juta menjelang akhir 2027, melalui aktiviti pembuatan kontrak di bawah jenama QES bagi pasaran ASEAN dan Amerika Syarikat. - DagangNews.com








