KUALA LUMPUR 11 Mac - Kadar purata pengangguran bagi 2025 diramal berada pada kadar 3.2% berbanding 3.3% pada 2024 disokong pasaran buruh stabil dan berdaya tahan, kata MIDF Research.
Firma penyelidikan itu meramalkan permintaan buruh yang positif dengan peningkatan kekosongan pekerjaan dalam sektor pembinaan dan perkhidmatan, disokong pertumbuhan ekonomi domestik yang stabil.
Katanya, sektor pembuatan, bagaimanapun, kekal terdedah kepada turun naik perdagangan global, yang boleh memberi kesan kepada pekerjaan dalam sektor teknologi dan industri berorientasikan perdagangan lain.
"Cabaran ekonomi, termasuk landskap perdagangan global yang tidak menentu, ketidaktentuan geopolitik dan permintaan yang lebih lemah daripada rakan dagangan utama, menimbulkan risiko penurunan kepada prospek pasaran buruh Malaysia dalam tempoh terdekat.
"Namun begitu, permintaan domestik yang mampan, realisasi aktiviti pelaburan dan peningkatan perbelanjaan kerajaan dijangka memacu penciptaan pekerjaan dan mengekalkan permintaan buruh yang sihat," katanya dalam satu nota kajian.
ARTIKEL BERKAITAN: Kadar pengangguran Januari 2025 dalam trend menurun, rekod 3.1% - DOSM
Terdahulu, bilangan tenaga buruh pada Januari 2025 terus bertambah, meningkat sebanyak 0.3% bulan ke bulan kepada 17.22 juta orang.
Kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.6% seperti bulan sebelumnya. Trend positif dalam tenaga buruh ini adalah didorong oleh peningkatan dalam guna tenaga, manakala bilangan penganggur terus menurun.
Bilangan penganggur turun sebanyak 0.9% kepada 533,800 orang pada bulan sama, berbanding 538,500 orang pada Disember 2024.
Kadar pengangguran kekal pada 3.1% seperti yang direkodkan pada bulan sebelumnya.
Pada Januari 2025, kategori pekerja, yang merangkumi 75.3% daripada jumlah penduduk bekerja, mencatatkan pertambahan sebanyak 0.3% kepada 12.56 juta orang. - DagangNews.com








