PublicInvest: Jualan LED automotif D&O Green Technologies mula pulih, hasil diunjur RM1 bilion bagi FY26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PublicInvest: Jualan LED automotif D&O Green Technologies mula pulih, hasil diunjur RM1 bilion bagi FY26

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 2 SeptD&O Green Technologies Berhad menunjukkan tanda pemulihan permintaan LED automotif, namun keuntungannya masih lagi berdepan tekanan, menurut analisis Public Investment Bank.

 

Firma penyelidikan tersebut menambah, antara isu boleh menjejaskan margin termasuk peruntukan inventori dan isu legasi yang dijangka berlarutan sehingga suku kedua tahun kewangan 2027 (2QFY27).

 

Bagaimanapun ia melihat prospek kumpulan itu semakin positif apabila jualan LED automotif meningkat positif kepada RM80 juta sebulan, berbanding hanya RM65 juta pada tempoh separuh pertama 2026.

 

"Perkembangan ini memberi petunjuk pemulihan permintaan mula berlaku, dengan D&O turut menjangka pengeluaran pada suku keempat 2026 lebih kukuh berikutan faktor bermusim," kata nota PublicInvest.

 

Ujarnya, 'design-ins' kumpulan itu naik 10% suku ke suku (QoQ), manakala 'design-wins' bertambah 5% QoQ menunjukkan penglibatan pelanggan dan peluang program baharu kekal sihat menyokong pertumbuhan.

 

Malah jelas firma penyelidikan berkenaan, kumpulan tersebut menyasarkan pendapatan sekitar RM1 bilion bagi FY26, manakala pertumbuhan hasil pada FY27 dijangka sekitar 2% tahun ke tahun (YoY).

 

Ujar PublicInvest, meskipun pertumbuhan hasil D&O sederhana, jumlah jualan dijangka naik daripada 4.85 bilion unit kepada 4.97 bilion unit susulan perubahan campuran produk dan produk LED baharu.

 

D&O Green_DagangNews2026

 

"Pemacu utama pertumbuhan ialah peningkatan penembusan Smart LED, pendedahan tinggi platform kenderaan elektrik (EV) dan pertambahan kandungan LED dalam setiap kenderaan baharu," tambahnya.

 

Permintaan Smart LED diunjur meraih manfaat daripada model BMW Neue Klasse, manakala perniagaan RCL/SpicePlus 2520 pula terdedah kepada model EV seperti Xiaomi SU7, YU7 dan AITO M9.

 

Jelas PublicInvest, peningkatan kandungan LED turut memberi prospek positif kepada D&O kerana paparan automotif penuh generasi baharu memerlukan 1,000 LED berbanding 80 LED bagi jenis biasa.

 

Dalam segmen Smart LED, pengurusan menganggarkan menguasai 75% pasaran global dengan permintaan ketika ini dipacu BMW, pelanggan dari Korea Selatan dan beberapa pengeluar automotif China.

 

"Kumpulan berkenaan turut menilai sumbangan Smart LED kepada hasil syarikat pada FY26 dijangka meningkat sedikit kepada sekitar 19% daripada cuma kira-kira 15% sebelum ini," katanya lagi.

 

PublicInvest menambah, bagi mengurangkan kebergantungan kepada pembekal cip tunggal, D&O sedang membangunkan cip sendiri yang bakal dikomersialkan pada 4QFY27, selepas lulus ujian pengeluaran.

 

Langkah tersebut ujar firma penyelidikan itu, berpotensi mengurangkan kos dan kebergantungan kepada pembekal, selain membolehkan kumpulan berkenaan menjana pendapatan royalti menerusi hak paten.

 

Secara keseluruhan, ia menjangkakan pengoptimuman kos dan peningkatan jualan LED automotif membantu keuntungan kumpulan itu kembali normal secara beransur-ansur, dalam tempoh beberapa suku.

 

"Justeru, kami mengekalkan saranan 'outperform' ke atas saham D&O dengan harga sasaran (TP) tidak berubah 48 sen sesaham, berdasarkan 18 kali pendapatan sesaham FY27," kata PublicInvest. - DagangNews.com