KUALA LUMPUR 29 Okt - Public Gold Group, syarikat logam berharga terkemuka Malaysia, mencatat sejarah baharu apabila menjadi syarikat pertama dari Malaysia yang berjaya memperoleh keahlian antarabangsa dengan Shanghai Gold Exchange (SGE) — antara platform dagangan emas paling berpengaruh di dunia.
Kejayaan bersejarah ini meletakkan Public Gold di barisan hadapan industri logam berharga ASEAN dengan akses langsung kepada rangkaian dagangan global SGE, infrastruktur penghantaran fizikal, serta kontrak emas berdenominasi RMB.
Keahlian ini juga membolehkan syarikat itu mendapatkan dan menghantar emas melalui rangkaian peti simpanan antarabangsa SGE yang berpangkalan di Shanghai, Shenzhen dan Hong Kong.
Sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan globalnya, keahlian antarabangsa dengan SGE menandakan langkah besar dalam usaha Public Gold untuk mengukuhkan kehadiran antarabangsa.
Selain itu, syarikat kini berada di peringkat akhir untuk memperoleh keahlian dengan India International Bullion Exchange (IIBX) dan bersiap sedia menembusi pasaran London — pusat dagangan emas paling besar dan berpengaruh di dunia.
Dengan kehadiran operasi sedia ada di Dubai, pusat dagangan emas utama di Timur Tengah, Public Gold kini berupaya menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan dan rakan niaga di seluruh Asia, Timur Tengah, dan tidak lama lagi, Eropah.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Public Gold, Dato’ Seri Louis Ng berkata penyertaan ke dalam SGE bukan sekadar pencapaian perniagaan, tetapi satu langkah strategik untuk menghubungkan Malaysia secara langsung dengan pasaran emas utama dunia.
“Dengan kehadiran yang semakin berkembang di Dubai, India, London dan seterusnya, Public Gold sedang membina rangkaian global yang akan memberi manfaat bukan sahaja kepada pelanggan kami, tetapi juga kepada keseluruhan industri emas Malaysia,” katanya.
Sebagai ahli bersekutu Malaysia Gold Association (MGA) dan Singapore Bullion Market Association (SBMA), Public Gold berhasrat memperkukuh peranan Malaysia dalam perdagangan logam berharga global. Syarikat ini beroperasi secara menyeluruh dalam rantaian nilai emas antarabangsa — daripada dagangan borong dan produk simpanan runcit, kepada penyelesaian penyimpanan serta penawaran emas patuh Syariah.
Langkah pengembangan ke SGE, IIBX dan London mencerminkan komitmen Public Gold untuk meningkatkan kecekapan sumber melalui penyertaan langsung dalam pasaran emas terbesar dunia, memperluas peluang eksport produk emas Malaysia ke China, India, Timur Tengah dan Eropah, serta membangunkan produk simpanan inovatif yang dikaitkan dengan penanda aras pasaran emas antarabangsa.
Beribu pejabat di Malaysia, Public Gold kini giat memperluas kehadirannya di Asia Tenggara, Dubai dan London sebagai sebahagian daripada usahanya untuk mengukuhkan peranan sebagai jambatan antara pelabur emas ASEAN dan pasaran emas global utama. - DagangNews.com








