KUALA LUMPUR 13 Feb - Protasco Bhd diramal mencatatkan pemulihan pendapatan disokong penambahbaikan dalam aktiviti penyelenggaraan dan pembinaan jalan serta pelupusan cabang perniagaan berkaitan pendidikan yang merugikan, kata RHB Research.
Katanya, penyedia rumusan infrastruktur komprehensif itu berada pada kedudukan yang baik untuk mencatatkan pertumbuhan mampan.
Firma penyelidikan itu berkata, buku pesanan tertunggak semasa sebanyak RM224 juta, khususnya daripada kerja-kerja menaik taraf jalan persekutuan di Kulim, Kedah akan menyokong pertumbuhan pendapatan sehingga 2026.
"Dengan buku tender sebanyak RM2 bilion (langsung dan tidak langsung) yang tertumpu kepada pekerjaan infrastruktur kerajaan seperti pembinaan jalan raya, hospital, tebatan banjir dan kerja berkaitan air dengan pelbagai agensi dan kami hanya mengambil kira buku pesanan sebanyak RM250 juta setahun untuk FY25-FY26," katanya dalam satu nota kajian.
RHB Research berkata, kelulusan semakan kadar antara 25% hingga 30% untuk kerja penyelenggaraan berkala pada April 2024 ditetapkan untuk meningkatkan margin dan keuntungan kumpulan dengan ketara.
Katanya, peruntukan lebih tinggi di bawah Belanjawan 2025 untuk Kementerian Kerja Raya, dan potensi pembiayaan tambahan daripada program khas untuk Pengerusi ASEAN Malaysia pada 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026, berkemungkinan memberi manfaat kepada segmen penyelenggaraan jalan raya.
"Sebagai pemain terbesar dalam ruang ini, dengan konsesi penyelenggaraan jalan sepanjang 18,000km dan buku pesanan tertunggak sebanyak RM1.5 bilion, Protasco berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang ini," katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, segmen hartanah menunjukkan pemulihan positif , disokong pembangunan Projek Residensi Madani Melur dan Projek Residensi Harga Bebas Kenanga baharu yang dianugerahkan oleh Putrajaya Corp pada 23 Oktober 2024 dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM477 juta.
Katanya, ia ditambah dengan 55.4 hektar pembangunan perumahan bertanah sedia ada di Tampin, Negeri Sembilan, dijangka mengurangkan kerugian (terutamanya dari pusat beli-belah De Centrum).
"Sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula, Protasco melepaskan 90% pegangan dalam perniagaan pendidikannya dengan harga RM27 juta.
"Segmen ini mencatatkan kerugian sebelum cukai bagi sembilan bulan 2024 sebanyak RM5.9 juta. Pelupusan dijangka siap pada suku pertama 2025, akan meningkatkan keuntungan kumpulan dengan ketara," katanya.
Firma penyelidikan itu tidak menetapkan sebarang saranan tetapi memberikan harga wajar (FV) 65 sen sesaham.- DagangNews.com








