Prospek Tasco diramal positif dipacu segmen pergudangan, pertambahan pelanggan serta perluasan kapasiti - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek Tasco diramal positif dipacu segmen pergudangan, pertambahan pelanggan serta perluasan kapasiti - MBSB Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Okt - Tasco Berhad berpotensi mencatatkan pertumbuhan kukuh dalam segmen pergudangan dipacu pertambahan pelanggan baharu serta perluasan kapasiti yang meningkatkan potensi jualan silang perkhidmatan logistik bersepadu syarikat itu.

 

MBSB Research berkata, tahun kewangan 2025 (FY25) menyaksikan lonjakan besar dalam sejarah syarikat dengan tambahan ruang gudang seluas 880,000 kaki persegi melalui dua projek utama – Westport Logistics Centre Block B (WPLC B) seluas 280,000 kaki persegi dan Shah Alam Logistics Centre (SALC) ABCD seluas 600,000 kaki persegi. 

 

Katanya, tambahan 700,000 kaki persegi lagi sedang dalam perancangan, dijangka siap menjelang FY27.

 

"Kedua-dua kemudahan itu mendapat manfaat daripada insentif cukai MIDA untuk perkhidmatan logistik bersepadu (ILS), yang terbukti berperanan penting dalam mempercepatkan agenda pengembangan Tasco," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, terletak di kawasan perdagangan bebas seluas 16.18 hektar, WPLC terdiri daripada tiga blok gudang dengan keluasan keseluruhan 680,000 kaki persegi. 

 

Katanya, kemudahan itu dilengkapi dengan 93 pintu pemuatan, zon suhu bercampur (hingga 18°C), serta pensijilan Halal, ISO 22000, ISO 9001 dan GDPMD.

 

Blok WPLC A (270,000 kaki persegi) kini disewa penuh oleh pelanggan sektor kesihatan dan teknologi, manakala WPLC B (280,000 kaki persegi) digunakan sepenuhnya oleh pengeluar Jepun bagi instrumen muzik elektronik. 

 

Kedua-dua blok dilengkapi dengan sistem pemercik kebakaran Early Suppression Fast Response (ESFR) menjadikan pengubahsuaian ruang lebih fleksibel dan kos efektif.

 

"Unit rantaian sejuk Tasco, Tasco Yusen Gold Cold Sdn Bhd (TYGC), kini merupakan pengendali cold chain terbesar di Malaysia dengan lebih 56,000 ruang palet dan lebih 150 trak kawalan suhu. Segmen ini menyumbang sekitar 15% hasil kumpulan pada suku pertama FY26," katanya.

 

MBSB Research berkata, Tasco kekal berdaya saing melalui strategi penyepaduan perkhidmatan logistik, yang menggabungkan pergudangan, pengangkutan darat serta penghantaran udara dan laut. 

 

Katanya, pendekatan itu bukan sahaja memperkukuh kebergantungan pelanggan, tetapi turut membuka peluang jualan silang antara segmen.

 

Antara sektor utama yang dikenal pasti untuk pertumbuhan masa hadapan ialah kesihatan, automotif (alat ganti), komoditi asas (seperti koko dan kapas) serta barang berbahaya (dangerous goods).

 

"Kami mengekalkan saranan "beli" terhadap saham Tasco dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak 72 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com