KUALA LUMPUR 18 Jun - Prospek Supercomnet Technologies Bhd dijangka positif berdasarkan kemahirannya sebagai pengeluar reka bentuk asal (ODM) tempatan dalam peralatan perubatan.
Menurut BIMB Research, syarikat itu juga berpotensi mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan pengeluaran pihak ketiga selepas pandemik Covid-19.
Katanya, Supercomnet berada dalam posisi kukuh untuk berkembang kerana mempunyai hubungan jangka panjang dengan pelanggan utama bertaraf antarabangsa seperti Ambu, Edwards Lifesciences dan Boston Scientific.
"Industri ini sukar dimasuki kerana memerlukan proses yang ketat, jadi sesebuah syarikat cenderung kekal dengan pelanggan yang sama.
"Tempoh kelulusan produk yang panjang antara 12 hingga 18 bulan juga membantu memastikan hubungan jangka panjang dengan pelanggan," jelas firma penyelidikan itu dalam satu nota kajian.
BIMB Research berkata, Supercomnet mempunyai tunai bersih sebanyak RM230 juta, sekali gus mampu membiayai pertumbuhan syarikat tanpa perlu bergantung kepada pinjaman luar.
Firma penyelidikan itu menjangkakan keuntungan Supercomnet akan terus meningkat, malah pendapatannya boleh berganda dalam dua hingga tiga tahun akan datang.
Supercomnet merupakan pengeluar khusus yang mematuhi piawaian Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) serta beroperasi dengan kos yang cekap.
Namun, lebih 70% hasil syarikat bergantung kepada pelanggan utama, yang menjadi risiko biasa dalam industri pembuatan peralatan perubatan secara kontrak kerana memerlukan kepakaran dan kelulusan ketat.
Firma penyelidikan itu turut berkata, kelewatan dalam penyediaan bilik khas atau kelulusan FDA boleh menjejaskan masa penghantaran dan margin keuntungan syarikat.
Sebanyak 90% jualan Supercomnet adalah dalam dolar Amerika, menyebabkan keuntungan syarikat terdedah kepada turun naik mata wang.
Namun, kesan berkenaan dapat dikurangkan kerana syarikat turut membeli bahan mentah dalam mata wang yang sama.
Antara faktor utama yang dijangka mendorong pertumbuhan syarikat adalah pelancaran produk baharu seperti kabel elektroensefalogram (EEG), sistem infusi pintar dan peranti perubatan canggih, yang boleh meningkatkan pendapatan serta mengukuhkan kedudukan syarikat dalam rantaian nilai global.
BIMB Research menambah, Supercomnet juga berpotensi menarik lebih banyak pelanggan baharu, sekali gus meningkatkan jangkaan hasil dalam tempoh sederhana. - DagangNews.com








