Prospek Sunway REIT dikhuatiri terjejas ekoran kelemahan sektor hospitaliti yang berterusan – CGS International | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek Sunway REIT dikhuatiri terjejas ekoran kelemahan sektor hospitaliti yang berterusan – CGS International

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Mei – Prestasi pendapatan jangka sederhana Sunway REIT dikhuatiri terjejas susulan beberapa risiko utama yang dikenal pasti oleh CGS International meskipun kumpulan itu masih mencatat keputusan suku pertama FY2026 yang stabil dan selaras dengan jangkaan pasaran. 

 

Firma penyelidikan itu berkata antara risiko utama ialah kelemahan berterusan dalam segmen hospitaliti yang menyumbang kira-kira 14% kepada pendapatan operasi bersih (NPI) pada FY2025.

 

“Prospek pelancongan Malaysia yang lebih perlahan daripada jangkaan berpotensi menekan pemulihan sektor hotel dalam jangka masa sederhana. Keadaan ini boleh mengehadkan sumbangan pendapatan daripada aset hotel dalam portfolio Sunway REIT.

 

“Selain itu, risiko kadar faedah yang lebih tinggi boleh meningkatkan kos pembiayaan Sunway REIT. Kenaikan kos ini berpotensi memberi tekanan kepada keuntungan bersih serta mengurangkan pulangan kepada pemegang unit,” kata CGSI dalam nota kajiannya.

 

Firma penyelidikan itu juga menekankan risiko berkaitan kadar sewa dan penghunian sekiranya keadaan ekonomi domestik menjadi lebih lemah.

 

“Walaupun segmen runcit ketika ini kekal kukuh, sebarang penurunan dalam perbelanjaan pengguna boleh memberi kesan kepada pertumbuhan sewa pada masa akan datang.

 

“Dalam masa sama, tahap gearing Sunway REIT sekitar 40% dilihat masih terkawal tetapi sudah mula mengehadkan ruang untuk pengambilalihan berskala besar tanpa sokongan pembiayaan tambahan,” katanya.

 

Dari sudut penilaian, CGS menjelaskan Sunway REIT kini menawarkan hasil dividen sekitar 5%, lebih rendah berbanding purata sektor sekitar 5.5%, menjadikannya kurang menarik dari sudut pulangan pendapatan berbanding rakan pesaing yang lain.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Sunway REIT catat hasil RM223 juta 1QFY26, disokong segmen runcit

 

Firma itu mengekalkan saranan “Pegang” ke atas Sunway REIT dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.45, berbanding harga semasa RM2.56, sekali gus mencerminkan potensi penurunan sekitar 4.3%

 

CGSI berkata ketiadaan pemangkin besar dalam tempoh FY2026 hingga FY2028 menjadi faktor utama mengapa saranan “Pegang” dikekalkan.

 

Bagaimanapun, dalam suku pertama FY2026, Sunway REIT masih mencatat prestasi stabil dengan untung bersih teras RM109.3 juta, yang berada dalam lingkungan jangkaan CGSI serta konsensus pasaran.

 

Prestasi ini disokong oleh segmen runcit yang terus menjadi pemacu utama, khususnya Sunway Pyramid Mall dan Sunway Carnival Mall yang mencatat pertumbuhan pendapatan lebih baik.

 

Kadar penghunian pusat beli-belah juga meningkat kepada 98%, mencerminkan permintaan penyewa yang kekal kukuh walaupun berdepan tekanan ekonomi global dan ketidaktentuan makroekonomi.

 

Secara keseluruhan, CGS menyifatkan segmen runcit sebagai penampan utama yang mengimbangi kelemahan dalam sektor hospitaliti, namun menegaskan bahawa ia lebih kepada kestabilan berbanding pemangkin pertumbuhan besar.

 

CGSI berpandangan Sunway REIT kekal sebagai kaunter defensif yang stabil, namun dengan potensi kenaikan terhad berikutan kekangan pertumbuhan, risiko makroekonomi dan ruang pengembangan yang semakin sempit. - DagangNews.com