KUALA LUMPUR 3 Mac - Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) positif terhadpa prospek pertumbuhan KPJ Healthcare Bhd pada 2025 disokong pelan pembangunan teguh termasuk usaha mengoptimumkan aset berprestasi rendah dan penambahbaikan operasi teras.
Katanya, kumpulan itu menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti katilnya sebanyak 30% kepada 5,000 katil dalam tempoh tiga tahun akan datang.
"Ini akan membolehkan KPJ mengekalkan momentum pendapatannya sambil memacu pengembangan margin melalui peningkatan kecekapan operasi dan pengurusan kos.
"Aliran demografi yang menggalakkan, termasuk populasi penuaan yang semakin meningkat dan segmen berpendapatan sederhana yang berkembang, terus memacu permintaan untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan khusus dan kebolehcapaian yang lebih baik," katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan untung bersih tinggi sebanyak RM353.81 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24) berbanding RM263.4 juta pada FY23, dipacu keberkesanan strategi pengoptimuman kos dan kecekapan operasi serta pelaburan mengutamakan pesakit.
Hasil mencecah RM3.92 bilion, berbanding RM3.42 bilion pada tahun sebelumnya.
Selain itu, terdapat juga keuntungan bersih daripada pelupusan perniagaan penjagaan warga emas di Australia, yang direkodkan di bawah operasi yang dihentikan.
Kumpulan itu melabur sebanyak RM406 juta dalam perbelanjaan modal pada FY24, peningkatan 66% daripada RM244 juta pada FY23.
Kadar penghunian katil pada 2024 ialah sebanyak 69% berbanding 67% pada 2023 manakala pesakit masuk wad berjumlah 388,101 berbanding 361,987 pada tahun sebelumnya.
Firma penyelidikan itu menyemak naik ramalan pendapatan FY25-FY26 sebanyak purata 15% selepas mengambil kira lawatan pesakit yang lebih tinggi.
"Kami mengekalkan saranan "outperform" dengan harga sasaran (TP) RM2.66 sesaham," katanya. - DagangNews.com








