KUALA LUMPUR 13 Feb – Prospek pemulihan sektor minyak dan gas (O&G) negara dilihat sebagai tidak menyeluruh, sekali gus menekan momentum pendapatan keseluruhan industri, menurut TA Securities.
Firma penyelidikan tersebut merujuk unjuran terkini menerusi Laporan PETRONAS Activity Outlook (PAO) 2026–2028 yang menunjukkan aktiviti industri berkenaan masih stabil tetapi tidak akan sekata.
Sehubungan itu, ia menurunkan penarafan sektor O&G daripada ‘neutral’ kepada ‘underweight’, dengan berpandangan bahawa fasa semasa lebih bersifat pemulihan terpilih berbanding kitaran kenaikan.
"Laporan ini mencerminkan pendekatan pragmatik PETRONAS mengimbangi ketidaktentuan ekonomi global, risiko geopolitik dan agenda peralihan tenaga," kata TA Securities dalam nota analisis hari ini.
Tambahnya, kumpulan petroleum nasional itu diramal memberi tumpuan jangka sederhana untuk kekal kepada operasi teras secara huluan bagi menjamin keselamatan tenaga dan daya tahan aliran tunai.
Segmen paip talian pula menunjukkan lonjakan ketara apabila panjangnya dijadualkan boleh meningkat kepada 322 kilometer pada 2026 dan 302.7 kilometer pada 2027, berbanding 55.5 kilometer pada 2025.
Unjuran itu memberi manfaat kepada syarikat yang berkaitan paip seperti Pantech Group Holdings Berhad, meskipun TA Securities mengekalkan saranan ‘jual’ dengan harga sasaran (TP) 63 sen.
"Justeru, kami menilai akan berlaku peningkatan permintaan domestik O&G yang seterusnya berpotensi untuk menyokong rantaian pemulihan pendapatan banyak syarikat dalam jangka sederhana," jelasnya.
Bagi segmen fabrikasi struktur tetap, PETRONAS menyasarkan 10 unit pada 2026, enam unit (2027) dan lapan unit (2028), dengan peralihan campuran kepada Wellhead Platform (WHP) bersaiz sederhana.
Oleh itu, TA Securities melihat Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad sebagai antara penerima manfaat utama berikutan pendedahan langsung kepada kontrak WHP berkaitan PETRONAS.
Berdasarkan kepada potensi besar pemerolehan tender kerja-kerja berkenaan, firma penyelidikan tersebut memberikan saranan ‘beli’ ke atas saham syarikat itu dengan TP tidak berubah 49 sen.
"Aktiviti loji dijangka memuncak pada 2026 dengan 12 loji, lebih tinggi berbanding enam loji pada 2025 dan 2027, sekali gua merupakan kenaikan ketara berbanding unjuran PAO terdahulu," katanya.
Segmen ini jelas TA Securities, dijangka memanfaatkan Steel Hawk Berhad, yang memiliki keupayaan dalam kerja-kerja loji serta turut diberi saranan ‘beli’ dengan TP masih kekal 41 sen sesaham.
Sebaliknya, segmen kapal sokongan luar pesisir (OSV) menunjukkan trend menurun dengan semakan PAO kali ini menunjukkan unjuran penurunan terhadap permintaan sepanjang tempoh 2026 hingga 2027.
Permintaan kapal sokongan pengeluaran disemak kepada 106 buah bagi dua tahun itu, manakala kapal sokongan penggerudian dan projek dijangka menurun kepada 190 buah (2026) dan 172 buah (2027).
"Ini memberi risiko kepada pemain seperti Keyfield International Berhad, walaupun kami terus mengekalkan saranan ‘beli’ susulan kelemahan harga saham kumpulan itu di bursa baru-baru ini," kata TA Securities.
Selain itu, aktiviti 'Hook-Up and Commissioning' (HUC) mencatat penurunan ketara dengan jam kerja sebenar 2025 sekitar 1.9 juta berbanding unjuran 6.5 juta, dan disemak rendah bagi 2026–2027.
Keadaan perlahan sepanjang dua tahun berkenaan tambah firma penyelidikan tersebut, dijangka memberi tekanan besar kepada syarikat dalam segmen berkaitan penyelenggaraan dan pengubahsuaian.
Secara keseluruhan, TA Securities berpendapat PAO 2026–2028 bersifat evolusi dan bukan peralihan besar, dengan asas aktiviti masih dipacu sektor huluan tetapi tanpa lonjakan kitaran yang ketara.
"Meskipun segmen loji, paip dan fabrikasi menawarkan sokongan terpilih, kelemahan berterusan dalam OSV serta semakan turun HUC dijangka mengehadkan pertumbuhan pendapatan agregat sektor," jelasnya.
Campuran aktiviti di bawah PAO terkini menunjukkan potensi kenaikan terhad pada peringkat sektor, dengan pemulihan tertumpu kepada skop tertentu dan bukan menandakan fasa kitaran menaik. - DagangNews.com








