KUALA LUMPUR 18 Jun - Industri sarung tangan getah Malaysia memasuki separuh kedua tahun 2026 (2H26) dalam kedudukan paling kukuh sejak kemerosotan yang berlaku selepas pandemik Covid-19, disokong oleh peningkatan kadar penggunaan kapasiti, harga jualan purata (ASP) yang lebih stabil serta pemulihan permintaan global.
Menurut BIMB Securities, industri tersebut kini sebahagian besarnya telah melepasi fasa penyahstokan (destocking) yang berpanjangan yang sebelum ini menjejaskan prestasi pengeluar sarung tangan tempatan.
Firma penyelidikan itu menjangkakan permintaan global sarung tangan akan terus berkembang daripada 421 bilion unit pada 2025 kepada 455 bilion unit pada 2026 sebelum meningkat kepada 530 bilion unit menjelang 2028.
Unjuran tersebut mewakili kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sekitar 8% bagi tempoh tiga tahun akan datang.
Bagaimanapun, BIMB Securities mengingatkan pemulihan semasa tidak seharusnya disalah tafsir sebagai permulaan kepada satu lagi kitaran pertumbuhan luar biasa seperti yang berlaku ketika pandemik Covid-19.
"Industri ini sedang pulih daripada asas yang sangat rendah selepas tempoh kemerosotan yang panjang, bukannya memasuki fasa kekurangan bekalan yang pernah mencetuskan lonjakan keuntungan luar biasa sebelum ini.
"Lebihan kapasiti global masih tinggi, manakala persaingan daripada pengeluar China di luar pasaran Amerika Syarikat terus mengehadkan kuasa penetapan harga dalam industri," katanya dalam nota penyelidikan.
Kapasiti Pengeluaran Ditingkatkan Sehingga 90%
Menurut BIMB Securities, corak tempahan yang semakin konsisten kini membolehkan pengeluar utama Malaysia meningkatkan kadar penggunaan kapasiti kepada sekitar 80% hingga 90%, berbanding hanya 60% hingga 70% setahun lalu.
Katanya, peningkatan tersebut amat penting memandangkan industri sarung tangan merupakan sektor yang mempunyai kos tetap tinggi, di mana setiap pertambahan penggunaan kapasiti mampu memberikan kesan yang lebih besar terhadap keuntungan menerusi leverage operasi yang lebih kukuh.
Walaupun begitu, firma penyelidikan itu berpandangan momentum semasa lebih banyak didorong oleh aktiviti pengisian semula inventori pelanggan dan bukannya pertumbuhan permintaan yang luar biasa.
Sehubungan itu, kadar pertumbuhan industri dijangka kembali menghampiri trend sejarah selepas 2026.
Dari sudut harga, ASP sarung tangan nitril keluaran Malaysia yang dieksport ke pasaran Amerika Syarikat kini berada pada paras pertengahan hingga tinggi AS$20 bagi setiap 1,000 unit berbanding kurang daripada AS$18 ketika kemuncak kemerosotan industri sebelum ini.
BIMB Securities berkata, pemulihan harga tersebut sebahagiannya disokong oleh gangguan bekalan getah nitril butadiena (NBR) yang membolehkan pengeluar memindahkan kenaikan kos bahan mentah kepada pelanggan.
Oleh itu ASP industri pada 2H26 dijangka kekal secara relatif stabil dan tidak menjadi pemacu utama pertumbuhan pendapatan syarikat. - DagangNews.com








