KUALA LUMPUR 1 Julai - Maybank Investment Bank (Maybank IB) meramalkan prospek jangka sederhana Cypark Resources Berhad positif disokong segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) dan loji janakuasa daripada sisa kepada tenaga (WTE).
Katanya, pemangkin utama kumpulan bagi jangka pendek termasuk penstrukturan semula hutang bernilai RM1 bilion berkaitan projek solar dan WTE menjelang akhir Jun 2025, yang berpotensi mengurangkan kos pinjaman sekitar 20%, dan sumbangan pendapatan setahun penuh daripada aset LSS3.
Firma penyelidikan itu berkata, potensi kenaikan mungkin datang daripada cadangan pengembangan fasa 2 loji WTE — yang dijangka menggandakan kapasiti pemprosesan sisa dan memanjangkan tempoh konsesi, sekali gus mengurangkan perbelanjaan susut nilai dan pelunasan (D&A).
"Kami percaya Cypark berpotensi memperoleh kerja-kerja EPCC ( perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan) daripada projek Hibrid Hidro Solar Terapung 500MW di Kenyir yang akan datang, dengan penganugerahan dijangka bermula dari suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY26), dan ini telah diambil kira dalam anggaran kami," katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, kerugian bersih teras bagi tahun kewangan 2025 (FY25) kumpulan meningkat kepada RM108.3 juta berbanding RM48.4 juta pada FY24 didorong kerugian berterusan dalam segmen WTE dan penyiapan projek Hospital Rawang.
Segmen RE kumpulan meningkat 20% kepada RM103 juta, didorong sumbangan penuh suku tahun daripada projek LSS3 berkapasiti 172MWp.
Hasil daripada segmen pembinaan & kejuruteraan menjunam 94% tahun ke tahun berikutan penyiapan projek Hospital Rawang.
Kerugian dalam segmen WTE mengecil berbanding tahun sebelumnya, tetapi masih menjadi beban, dengan mencatatkan kerugian sebanyak RM56.5 juta bagi FY25 berbanding RM61.6 juta pada FY24.
Maybank IB mengurangka anggaran keuntungan bersih teras FY26/FY27 masing-masing sebanyak 83%/4% bagi mencerminkan keputusan sebenar FY25 dan menurunkan anggaran hasil EPCC FY26 kepada RM180 juta daripada RM300 juta dengan jangkaan kelewatan dalam perolehan projek.
Bagaimanapun, anggaran hasil EPCC bagi FY27 kami kekal tidak berubah pada RM300 juta.
"Kami mengekalkan saranan "pegang" dengan harga sasaran (TP) 94 sen berbanding 85 sesaham," katanya.- DagangNews.com








