KUALA LUMPUR 18 Sept – Prospek sektor hartanah Malaysia bagi separuh kedua 2025 (2H 2025) kekal positif, didorong oleh permintaan berterusan dalam segmen perindustrian, pemulihan sektor pejabat dan pelancongan serta pembangunan infrastruktur rentas sempadan, menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).
Bank pelaburan itu mengekalkan penarafan ‘Overweight’ ke atas sektor hartanah, dengan unjuran pertumbuhan yang disokong oleh pendapatan isi rumah yang meningkat, dasar-dasar kerajaan yang pro-pembangunan, serta peralihan struktur ke arah ekonomi bernilai tinggi.
HLIB menjangkakan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan pembukaan Johor Bahru-Singapore Rapid Transit System (RTS) akan menjadi pemangkin utama pertumbuhan hartanah di selatan tanah air itu.
“Permintaan hartanah industri dijangka melonjak dengan JS-SEZ, memberi kelebihan kepada IOI Properties Group Bhd, manakala projek kediaman berdekatan RTS bakal memberi manfaat kepada Sunway Bhd dan Mah Sing Group Bhd,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Kehadiran pelancong harian dari Singapura juga dijangka merangsang perbelanjaan runcit, menyokong prestasi pusat beli-belah yang sedang dibangunkan oleh Sunway.
Negeri Sembilan pula dilihat muncul sebagai alternatif kos efektif kepada Selangor dalam sektor industri. HLIB mengenal pasti Matrix Concepts Holdings Bhd dan Sime Darby Property Bhd sebagai peneraju utama dalam memanfaatkan pertumbuhan ini.
“Matrix menunjukkan prestasi jualan yang kukuh di perbandaran Malaysia Vision Valley (MVV) dengan pengambilan positif untuk pelancaran industri terbaharu,” jelas HLIB.
Segmen Pejabat & Hospitaliti Menunjukkan Tanda Pemulihan
Sektor pejabat, yang terjejas pasca pandemik, kini menunjukkan tanda-tanda pemulihan, memberi kelebihan kepada pemilik bangunan pejabat seperti IOI Properties dan Sunway.
Dalam masa sama, kestabilan politik Malaysia menjadikannya lebih menarik sebagai destinasi pelancongan berbanding pesaing serantau seperti Thailand dan Indonesia.
“Pemain hospitaliti dengan pendedahan kukuh dalam segmen hotel, pusat beli-belah dan taman tema seperti IOI Properties dan Sunway dijangka meraih manfaat daripada pertumbuhan pelancongan,” tambah HLIB.
HLIB menegaskan bahawa sektor hartanah kini sedang mengalami transformasi struktur, di mana segmen selain kediaman — seperti industri, runcit, pejabat dan hospitaliti — mula menjadi pemacu utama pertumbuhan.
“Pelabur seharusnya menilai sektor ini secara menyeluruh. Kepelbagaian ini membolehkan pemaju memiliki pelbagai aliran pendapatan, meningkatkan keterlihatan keuntungan dan mengurangkan risiko ketergantungan kepada satu segmen sahaja,” jelas bank pelaburan itu.
HLIB menyenaraikan empat saham pilihan utama dalam sektor hartanah yang dijangka mencatat prestasi kukuh iaitu IOI Properties Group Bhd, OSK Holdings Bhd, Sunway Bhd dan Sime Darby Property Bhd. - DagangNews.com








