KUALA LUMPUR 20 Jun - Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham Aeon Co (M) Bhd dengan harga sasaran RM2.00 didorong kekuatan segmen perkhidmatan pengurusan hartanah (PMS) dan potensi pertumbuhan jangka panjang syarikat melalui naik taraf dan pengembangan pusat membeli-belah.
Walaupun jualan runcit sedikit menurun selepas Hari Raya Aidilfitri kerana perubahan corak perbelanjaan, penganalisis berkata, promosi dan iklan berterusan Aeon masih berjaya menarik pelanggan.
"Segmen PMS yang menyumbang banyak kepada pendapatan AEON menunjukkan prestasi yang baik.
"Kadar semakan semula sewa setakat ini sejajar dengan sasaran syarikat iaitu peningkatan 8% bagi tahun kewangan 2024," katanya dalam satu nota kajian.
Pertumbuhan Aeon juga disokong oleh kerja ubah suai dan pembinaan pusat membeli-belah baharu termasuk pengembangan Aeon Seremban 2 dan Aeon Kinta City yang dijangka siap pada 2028.
Selain itu, Aeon juga dijangka membuka sebuah pusat membeli-belah baharu di KL Midtown pada awal 2026.
Dengan projek-projek berkenaan, keluasan keseluruhan ruang sewaan Aeon dijangka meningkat daripada 13.5 juta kaki persegi kepada 14 juta kaki persegi, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan jangka panjang syarikat.
Maybank IB dalam pada itu turut menekankan kesan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang akan berkuat kuasa pada 1 Julai 2025 ke atas perkhidmatan sewaan dan pajakan.
Berdasarkan maklumat sedia ada, sebanyak 57% keluasan boleh disewa Aeon kini disewakan kepada penyewa luar, manakala 43% digunakan untuk operasi runcit dalaman.
Sekiranya peluasan SST hanya dikenakan ke atas operasi dalaman, Maybank IB menganggarkan kos tambahan sebanyak RM5 juta pada tahun kewangan 2025 dan masing-masing RM9 juta pada tahun 2026 dan 2027.
Ini dijangka memberi kesan pengurangan pendapatan sekitar 3% hingga 5% dalam tempoh ramalan.
Bagaimanapun, kesan sebenar SST masih belum jelas, terutama melibatkan sewaan jangka pendek, kawasan bersama, tempat letak kereta dan lot kosong.
Sehubungan itu, anggaran pendapatan Aeon masih belum disemak semula sehingga terdapat penjelasan lanjut daripada pihak berkuasa. - DagangNews.com








