KUALA LUMPUR 28 Okt - Proses integrasi rangkaian CelcomDigi Berhad dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2025 selepas mencapai 84% kemajuan pada 2Q25, berdasarkan sasaran asal untuk menggabungkan 17,000 tapak rangkaian daripada 24,000 tapak sebelum penggabungan.
RHB Research berkata, kumpulan itu sedang meneliti kemungkinan untuk menyahaktifkan tambahan 10% tapak di kawasan luar bandar, tertakluk kepada kajian kos dan manfaat yang dijangka dimuktamadkan sebelum akhir 2025.
Katanya, selepas melaksanakan penstrukturan semula tenaga kerja kira-kira 600 orang pada 2024, CelcomDigi menegaskan tiada rancangan untuk mengulangi langkah tersebut, sebaliknya akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kecekapan operasi dan produktiviti.
"Syarikat juga mengakui terdapat kelewatan dalam pelaburan teknologi maklumat (IT) yang sebelum ini dijangka memuncak pada 4Q25 hingga 1Q26, kini berpotensi berlanjutan sehingga FY27 berikutan kerumitan proses integrasi lebih daripada 100 subsistem IT dan sokongan termasuk sistem perniagaan, operasi dan pengebilan," katanya dalam satu nota kajian.
Pada separuh pertama 2025 (1H25), CelcomDigi merekodkan kos integrasi lebih rendah sebanyak RM91 juta, berbanding RM385 juta bagi tahun kewangan 2024, namun kos dijangka meningkat semula pada 2H25 sejajar dengan pelaburan IT berkaitan, selaras dengan unjuran tahunan pengurusan sebanyak RM317 juta.
Firma penyelidikan itu berata, walaupun masih menanggung perbelanjaan bagi naik taraf IT dan penyahaktifan tambahan tapak, kumpulan itu menjangka perbelanjaan modal (capex) akan menurun mulai FY26, selepas sebahagian besar perbelanjaan integrasi telah dilakukan dalam dua tahun lepas.
Katanya, untuk FY25, syarikat mengekalkan unjuran capex kepada jualan antara 14% hingga 16%.
Sementara itu, RHB Research berkata, perbincangan kumpulan itu dengan pihak berkuasa berhubung pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperluas yang berkuat kuasa pada 1 Julai kini berjalan dengan baik.
Katanya, pengendali rangkaian mudah alih (MNO) secara kolektif sedang membincangkan pengecualian tertentu bagi perkhidmatan perusahaan, namun memerlukan masa tambahan untuk mencapai kata sepakat.
"Kami mengekalkan saranan "neutral" dengan harga sasaran (TP) RM3.95 sesaham," katanya.- DagangNews.com








