Projek Residensi Wilayah, MGB berpotensi peroleh pendapatan tambahan 3% setahun sehingga FY28 - PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek Residensi Wilayah, MGB berpotensi peroleh pendapatan tambahan 3% setahun sehingga FY28 - PublicInvest

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Okt - MGB Berhad diramal memperoleh pendapatan purata tambahan sekitar 3% setahun bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 (FY26-FY28) hasil daripada kontrak baharu bernilai RM118.5 juta yang diperoleh daripada Uda Accord Development Sdn Bhd.

 

Public Investment Bank (PublicInvest) berkata, sumbangan itu berdasarkan margin kasar pada paras sederhana satu digit, sejajar dengan kadar keuntungan purata projek kumpulan bagi projek binaan kediaman mampu milik. 

 

"Dengan penganugerahan kontrak ini, buku pesanan MGB meningkat sekitar 10% kepada RM1.25 bilion, memberikan kepastian pendapatan bagi tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

 

"Unjuran pendapatan kumpulan diramal tidak berubah memandangkan kontrak tersebut telah diambil kira dalam sasaran penambahan kerja baharu MGB bagi tahun 2025 berjumlah RM600 juta," katanya dalam satu nota kajian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: MGB terima kontrak RM118.5 juta daripada Uda Accord bagi pembinaan Fasa 2 Residensi Wilayah

 

Terdahulu, kontrak tersebut, yang dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuh MGB, MGB Construction & Engineering Sdn Bhd, melibatkan kerja struktur bagi fasa kedua projek perumahan Residensi Wilayah di Jalan Jubilee, Kuala Lumpur. 

 

Skop kerja merangkumi pembinaan blok pangsapuri 45 tingkat dengan 702 unit, podium tempat letak kereta tujuh tingkat, tingkat kemudahan, serta pondok pengawal.

 

Kerja pembinaan dijadualkan bermula pada November 2025 dan dijangka siap dalam tempoh 30 bulan, iaitu menjelang Mei 2028.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranann "outperform" dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada 78 sen sesaham.- DagangNews.com