KOTA KINABALU 5 Jun – Pelaksanaan projek Kerajaan Persekutuan di Sabah akan diberi tumpuan bagi memastikan projek yang lewat, tergendala atau belum dimulakan dapat dipercepatkan ekoran kebimbangan terhadap peningkatan kos akibat ketidaktentuan ekonomi global.
Ketua Merinyu Projek Sabah (Menpro) Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang mula menjalankan tugas secara rasmi berkata pendekatan awal Menpro akan diselaraskan dengan keutamaan Ketua Menteri Sabah, khususnya dalam memastikan projek pembangunan persekutuan dilaksanakan dengan lebih cekap.
Menurutnya, fokus utama ketika ini adalah projek-projek persekutuan di Sabah yang mengalami kelewatan, tergendala atau masih belum dimulakan termasuk projek infrastruktur utama seperti Lebuh Raya Pan Borneo.
“Pelaksanaan projek yang tertangguh perlu diberi perhatian serius kerana ia boleh memberi kesan kepada kos keseluruhan pembangunan pada masa hadapan.
“Keadaan ekonomi global yang tidak menentu, termasuk turun naik pasaran tenaga serta ketegangan geopolitik, boleh memberi kesan kepada perancangan pembangunan negara.
“Ketegangan antarabangsa seperti yang berlaku antara Amerika Syarikat dan Iran berpotensi mengganggu pasaran tenaga global serta rantaian bekalan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Sekiranya konflik itu berpanjangan, ia boleh meningkatkan tekanan inflasi serta menyebabkan kenaikan kos bahan api, pengangkutan dan logistik, katanya.
Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata kelewatan pelaksanaan projek pada masa ini boleh membawa implikasi kewangan yang besar kerana kos pembinaan cenderung meningkat dari masa ke semasa.
Tambahnya, projek yang diluluskan perlu dilaksanakan mengikut jadual bagi mengelakkan beban tambahan kepada peruntukan pembangunan kerajaan serta memastikan manfaat sampai kepada rakyat.
“Peranan Menpro adalah berorientasikan penyelesaian dengan memberi tumpuan kepada mengenal pasti masalah pelaksanaan serta memperbaiki koordinasi antara agensi terlibat.
“Pendekatan itu juga melibatkan cadangan praktikal bagi mempercepatkan pelaksanaan projek melalui tindakan awal dan proses membuat keputusan yang lebih pantas.
“Skop awal Menpro hanya melibatkan projek persekutuan di Sabah, manakala projek kerajaan negeri hanya akan diteliti jika diarahkan oleh Ketua Menteri,” katanya.
Menpro akan bekerjasama rapat dengan kementerian, jabatan serta agensi pelaksana bagi memperkukuh pemantauan projek dan memastikan pelaksanaan berjalan lancar dalam tempoh ditetapkan. - DagangNews.com








