KUALA LUMPUR 19 Mei – Program Kapal Tempur Pesisir (LCS) kendalian Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS) mencapai kemajuan fizikal keseluruhan sebanyak 77.46% setakat April 2026 melibatkan pembinaan lima kapal bagi memperkukuh aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
LUNAS dalam satu kenyataan berkata, pencapaian itu mencerminkan kemajuan berterusan dalam aktiviti pembinaan, integrasi sistem dan ujian yang sedang dijalankan secara serentak di seluruh armada LCS.
Menurut syarikat itu, kapal pertama iaitu LCS1 merekodkan kemajuan tertinggi sebanyak 84.30%, diikuti LCS2 sebanyak 79.48%, LCS3 sebanyak 71.22%, LCS4 sebanyak 60.52% dan LCS5 sebanyak 49.71%.
“Pelaksanaan serentak beberapa kapal pada tahap pembinaan dan integrasi berbeza menunjukkan pendekatan program yang lebih tersusun serta berdisiplin dalam memastikan projek itu terus bergerak mengikut jadual penyerahan yang telah diumumkan kerajaan.
“Program ini sedang dilaksanakan selaras dengan jadual penyerahan yang telah diumumkan, mencerminkan momentum pelaksanaan yang konsisten ke arah penyerahan penuh armada,” katanya.
Menurut LUNAS, LCS1 kini telah memulakan ujian di laut sebagai fasa pengesahan akhir sebelum menjalani Ujian Penerimaan Laut (Sea Acceptance Trials) bersama TLDM.
Katanya, pencapaian itu merupakan langkah penting ke arah kesiapsiagaan operasi dan pengukuhan keupayaan pertahanan maritim negara.
Bagi LCS2 pula, kapal itu dijadual menjalani pelayaran pertama pada suku keempat 2026 sebagai sebahagian daripada proses pembinaan dan integrasi sistem secara berperingkat.


LCS3 ketika ini berada dalam fasa pembinaan intensif susulan Majlis Penamaan dan Pelancaran yang diadakan pada Februari 2026, manakala LCS4 dijadual menjalani proses penurunan pertama pada penghujung tahun ini.
Dalam perkembangan sama, LUNAS berkata, pembinaan LCS5 menunjukkan kemajuan stabil apabila empat blok kapal telah disiapkan selain kesemua empat penjana diesel utama berjaya dipasang di atas kapal.
Katanya, sistem pengurusan tempur bagi kapal itu juga telah berjaya melepasi Ujian Penerimaan Kilang.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan di Parlimen bahawa jadual penyerahan kapal LCS akan dilaksanakan secara berperingkat bermula penghujung tahun ini sehingga 2029.
Menurut beliau, LCS1 dijadual diserahkan pada Disember 2026, diikuti LCS2 pada Ogos 2027, LCS3 pada Disember 2027, LCS4 pada Ogos 2028 dan LCS5 pada April 2029.
LUNAS berkata, pihaknya kekal komited memastikan setiap kapal diserahkan mengikut tempoh dipersetujui bagi memperkukuh keupayaan TLDM selaras dengan keutamaan pertahanan negara serta kepentingan strategik maritim Malaysia.
Katanya, dengan kemajuan yang boleh diukur merentasi kesemua lima kapal, Program LCS terus menunjukkan disiplin pelaksanaan, pematuhan jadual serta momentum berterusan ke arah penyerahan penuh armada. - DagangNews.com








