Projek Impiana jadi tumpuan baharu di Setia Alamsari, SP Setia tawar lot kedai bernilai RM82 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek Impiana jadi tumpuan baharu di Setia Alamsari, SP Setia tawar lot kedai bernilai RM82 juta

Projek komersial Impiana di Setia Alamsari
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Mei – SP Setia Berhad memperkukuh lagi portfolio pembangunan hartanahnya menerusi perbandaran Setia Alamsari di Kajang yang kini muncul sebagai antara projek berkonsepkan perbandaran bersepadu dengan keluasan sekitar 313.6 hektar (775 ekar).

 

Setia Alamsari merupakan sebuah projek perbandaran berskala besar yang dibangunkan sebagai pembangunan jangka panjang, dengan pelbagai fasa kediaman dan komersial yang sedang serta telah dibangunkan secara berperingkat oleh SP Setia.

 

Pelancaran komponen komersial projek ini telah dilancarkan dahulu seperti Teman dan Emporia yang telah menjadi sebahagian daripada pembangunan awal pusat komersial dalam kawasan tersebut.

 

Emporia antara komponen yang telah siap, menunjukkan tahap kemajuan pembangunan komersial yang telah mula matang dalam kawasan itu.

 

Perbandaran ini berteraskan pelan induk yang merangkumi lapan zon bertema, yang menyusun pembangunan landskap berbeza bagi mewujudkan identiti komuniti yang lebih tersusun dan berdaya huni.

 

SP Setia berkata, Setia Alamsari direka bukan sekadar sebagai projek kediaman, sebaliknya sebuah ekosistem gaya hidup yang menyokong keperluan harian serta perubahan fasa kehidupan keluarga.

 

Menurutnya, perancangan teliti, integrasi ruang hijau serta kemudahan komuniti menjadi asas utama dalam memastikan tahap kebolehhidupan yang tinggi kepada penduduk.

 

Tambahnya, kekuatan pembangunan ini terletak pada keseimbangan antara perbandaran matang dan pertumbuhan berterusan yang disokong oleh perancangan berasaskan data serta sistem pintar.

 

Dalam perkembangan terbaharu, SP Setia membuka peluang komersial baharu menerusi projek Impiana yang dijangka dilancarkan pada Julai 2026 dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM82 juta.

 

Projek berkenaan masih berada pada peringkat pra-pelancaran dan pendaftaran dengan jualan rasmi dijangka dibuka menjelang tarikh pelancaran tersebut.

 

Impiana merangkumi 29 unit lot kedai dua dan tiga tingkat di atas tanah pegangan bebas yang terletak di lokasi strategik berhadapan Jalan Bangi Lama.

 

Lokasi tersebut berada dalam koridor trafik utama yang menghubungkan Semenyih, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) serta Lebuhraya Lingkaran Kajang (SILK), menjadikannya antara laluan utama di kawasan Kajang–Bangi–Semenyih.

 

Lebih 15,000 kenderaan menggunakan laluan itu setiap hari yang memberikan kelebihan trafik kepada pembangunan komersial tersebut.

 

SP Setia berkata, faktor aliran trafik serta pertumbuhan populasi sekitar yang dijangka mencapai 40,000 penduduk dalam fasa matang kawasan perbandaran itu menjadikan projek komersial tersebut berpotensi menawarkan pulangan jangka panjang kepada pelabur.

 

Unit kedai dua tingkat ditawarkan dengan keluasan antara 3,436 hingga 4,941 kaki persegi pada harga bermula sekitar RM2.2 juta, manakala unit tiga tingkat mencecah sehingga 9,064 kaki persegi dengan harga bermula RM4.8 juta.

 

Selain komponen komersial, pembangunan Elysian dan Carabella turut memperkukuh ekosistem Setia Alamsari melalui penawaran kediaman berkonsepkan gaya hidup moden, hijau dan berorientasikan komuniti.

 

Elysian mengetengahkan konsep kediaman mewah berketumpatan rendah dengan elemen teknologi hijau seperti sistem solar, pengecas EV dan sistem penjimatan tenaga, manakala Carabella pula berkonsepkan Moroccan Garden yang menekankan landskap hijau dan reka bentuk estetika.

 

SP Setia berkata, pembangunan berterusan di Setia Alamsari mencerminkan komitmen kumpulan itu dalam mewujudkan perbandaran bersepadu yang bukan sahaja memberi nilai kediaman, tetapi juga peluang komersial yang mampan. - DagangNews.com