KUALA LUMPUR 12 Jun – ITMAX System Bhd memperkenalkan projek "Digital Twin", inisiatif AI terbaharu syarikat yang dijangka menjana hasil antara RM15 juta hingga RM20 juta setahun.
Projek itu melibatkan pembangunan replika maya 3D Kuala Lumpur yang merangkumi bangunan, infrastruktur jalan, dan analisis cerun.
Menurut Maybank Investment Bank Research (Maybank IB), inisiatif itu memanfaatkan kekuatan mereka dalam pengumpulan data dan berpotensi menjadi pemacu pertumbuhan baharu syarikat.
Projek tersebut dijangka membolehkan simulasi masa nyata oleh pihak berkuasa untuk meningkatkan kecekapan perancangan bandar, dengan pelaksanaan penuh disasarkan siap pada Disember 2025 dan penjanaan hasil bermula tahun kewangan 2026 (FY26).
Firma penyelidikan itu berkata, keyakinan terhadap prospek perniagaan teras ITMAX dalam rumusan CCTV serta inisiatif pertumbuhan terbaharunya berasaskan AI selepas mengadakan pertemuan bersama syarikat.
Antara risiko dikenal pasti termasuk kemungkinan kehilangan kontrak sedia ada bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada pesaing lain, kos peluasan operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan, pengurangan ketara dalam belanjawan operasi DBKL yang boleh menjejaskan kesinambungan kontrak sedia ada.
Namun begitu, ITMAX kekal sebagai pilihan utama Maybank IB dalam sektor perisian Malaysia berikutan potensi pertumbuhan kukuh serta kedudukannya sebagai peneraju rumusan bandar pintar negara ini.
Setakat ini, syarikat memperoleh kontrak untuk pemasangan 1,640 unit CCTV di empat daerah Greater Johor Bahru (GJB), dan difahamkan kerajaan negeri Johor mengamalkan dasar pembekal tunggal bagi infrastruktur bandar pintarnya.
ITMAX kini sedang berbincang secara aktif dengan pihak berkuasa di Pengerang, Batu Pahat, dan Muar.
Empat daerah GJB dijangka meningkatkan pemasangan CCTV menjelang lonjakan aktiviti ekonomi di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.
Maybank IB mengunjurkan pemasangan 2,000 unit CCTV di Johor bagi FY25/FY26, namun berdasarkan analisis sensitiviti, setiap tambahan 1,000 unit berpotensi meningkatkan pendapatan teras ITMAX sebanyak 2.4% hingga 3.6% bagi tempoh FY25-FY27.
Di luar Johor, prospek CCTV ITMAX juga kekal memberangsangkan apabila DBKL menetapkan sasaran 20,000 unit CCTV di Kuala Lumpur menjelang akhir 2028, iaitu tambahan minimum 10,000 unit dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Firma penyelidikan tersebut mengekalkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2025 hingga 2027 (FY25-FY27) dan mengekalkan saranan "beli" ke atas saham ITMAX dengan harga sasaran RM4.50 sesaham.- DagangNews.com








