Prestasi OSK pada 2H25 diyakini positif dipacu perniagaan pinjaman kredit swasta, kata HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prestasi OSK pada 2H25 diyakini positif dipacu perniagaan pinjaman kredit swasta, kata HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Okt - Prestasi OSK Holdings Berhad diyakini lebih baik pada separuh kedua 2025 (2H25) dipacu pertumbuhan pelbagai perniagaan khususnya melalui perniagaan pinjaman kredit swasta.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, prospek pertumbuhan kumpulan itu kekal positif disokong pertumbuhan dalam pelbagai segmen perniagaan utama.

 

“Kami menjangkakan prestasi lebih kukuh pada separuh kedua 2025, dipacu pertumbuhan pelbagai perniagaan terutamanya melalui perniagaan kredit swasta yang berkembang pesat serta bahagian kabel yang terus mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan oleh syarikat utiliti, pemain tenaga boleh diperbaharui dan infrastruktur kritikal.

 

"Segmen hartanah kumpulan juga dijangka mencatat prestasi yang lebih baik pada separuh kedua tahun ini, selepas mengalami sedikit penurunan hasil pada separuh pertama," katanya dalam satu nota kajian.

 

Walaupun mempunyai pelbagai pemacu pertumbuhan, HLIB menegaskan saham OSK masih dinilai menarik, dengan ia diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (PER) yang rendah, iaitu 7.1 kali bagi tahun kewangan 2026 (FY26) dan 6.2 kali bagi FY27.

 

HLIB turut menyatakan, pegangan 10.26% OSK dalam RHB Bank Berhad sahaja menyumbang kira-kira 70% daripada permodalan pasaran semasanya, menunjukkan pasaran masih meremehkan nilai segmen pertumbuhan lain milik kumpulan itu.

 

Firma penyelidikan tersebut menambah bahawa saham OSK kekal didagangkan pada penilaian yang menarik, disokong oleh kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) keuntungan stabil sekitar 9% bagi FY24–FY27, serta hasil dividen yang sihat antara 4.7% hingga 5.1% bagi FY26–FY27.

 

"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM2.13 sesaham," katanya.- DagangNews.com