Prestasi kewangan KPJ Healthcare pada 1H26 lebih kukuh dorong RHB Research kekal saran 'beli' saham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prestasi kewangan KPJ Healthcare pada 1H26 lebih kukuh dorong RHB Research kekal saran 'beli' saham

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 19 OgosKPJ Healthcare Berhad mencatat prestasi kewangan lebih kukuh pada separuh pertama 2026 (1H26), dipacu pertumbuhan hasil dan peningkatan kadar penghunian katil hospital.

 

Menurut RHB Research, kumpulan itu berupaya berdepan cabaran mengekalkan pertumbuhan pendapatan serta mengawal kos operasi ketika terus melabur dalam sistem digital dan teknologi maklumat (IT).

 

Justeru, firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap sahamnya dengan harga sasaran (TP) RM3.77, yang menawarkan potensi kenaikan sekitar 25% selain anggaran hasil dividen kira-kira 2%.

 

"Keuntungan bersih KPJ bagi 1H26 berjumlah RM182 juta, naik 28% tahun ke tahun (YoY) lebih tinggi berbanding jangkaan kami, mewakili 45% daripada unjuran keuntungan setahun," katanya dalam nota.

 

Prestasi itu ujar RHB Research, disokong keuntungan bersih teras suku kedua 2026 (2Q26) sebanyak RM113 juta, didorong hasil lebih tinggi daripada jangkaan serta kadar cukai yang lebih rendah.

 

Hasil 2Q26 meningkat 17% YoY, manakala intensiti hasil pesakit dalam meningkat 6.9% YoY, selari dengan tumpuan terhadap prosedur perubatan yang kompleks, dan jumlah pembedahan meningkat 12% YoY.

 

KPJ_DagangNews2026

 

Kadar penghunian katil (BOR) turut menunjukkan peningkatan ketara kepada 68% daripada 60% pada 1Q26, walaupun kumpulan menambah 47 katil secara bersih dalam tempoh tersebut. Keadaan itu menyumbang kepada peningkatan jumlah pesakit dalam sebanyak 9.7% YoY dan 14.4% QoQ.

 

"Margin berada pada 22.2%, sedikit di bawah unjuran 22.5%, namun meningkat 1.1 mata peratusan QoQ hasil BOR yang lebih tinggi selepas kelembapan bermusim pada 1Q26. Peningkatan itu namun diimbangi pelaburan berterusan dalam infrastruktur IT dan digital," kata RHB Research.

 

Kecekapan operasi KPJ turut bertambah baik apabila hasil bagi setiap katil kini melepasi RM1.2 juta, manakala intensiti hasil pesakit dalam meningkat kepada RM8,659, kedua-duanya mengatasi jangkaannya.

 

Bagi tempoh terdekat, RHB Research menjangkakan pertumbuhan pendapatan KPJ terus dipacu pertumbuhan organik melalui pengoptimuman BOR bagi kira-kira 4,000 katil sedia ada. Kumpulan juga mempunyai kapasiti menambah sehingga 650 katil dalam bangunan hospital sedia ada sebelum perlu bergantung kepada pembinaan blok hospital baharu.

 

RHB Research berkata pihaknya melihat ruang untuk menaikkan unjuran pendapatan selepas prestasi 1H26 yang lebih baik, namun memilih menunggu taklimat penganalisis sebelum membuat sebarang perubahan kepada anggaran FY26-28F. Firma itu terus menyukai KPJ berdasarkan rekod pelaksanaan kukuh, model hab-dan-satelit yang boleh diskalakan serta potensi pertumbuhan jangka panjang melalui pengoptimuman operasi dan peluasan kapasiti.

 

Namun, antara risiko utama yang perlu diperhatikan ialah jumlah kunjungan pesakit yang lebih rendah daripada jangkaan, pertumbuhan intensiti hasil yang lemah serta kos operasi yang lebih tinggi. KPJ juga perlu mengekalkan momentum penghunian dan produktiviti katil bagi memastikan pertumbuhan pendapatan dapat diteruskan, terutama ketika kumpulan terus memperkukuh pelaburan digital dan kapasiti perkhidmatan kesihatan. - DagangNews.com