Prasarana lantik Nasir Ahmad sebagai pengerusi, Amir Hamdan pemangku presiden dan GCEO | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prasarana lantik Nasir Ahmad sebagai pengerusi, Amir Hamdan pemangku presiden dan GCEO

Pengerusi Kumpulan yang baharu, Tan Sri Mohd Nasir Ahmad.
Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 1 Julai – Prasarana Malaysia Bhd mengumumkan pelantikan Tan Sri Mohd Nasir Ahmad sebagai Pengerusi Kumpulan yang baharu berkuat kuasa 1 Ogos 2025, manakala Amir Hamdan dilantik sebagai Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (PGCEO) berkuat kuasa 15 Julai 2025.

 

Nasir Ahmad pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) sehingga bersara pada 1 Jun 2011, dan telah menyandang jawatan Pengerusi Kumpulan CIMB Holdings Bhd sejak 2018.

 

Beliau menggantikan Tan Sri Jamaludin Ibrahim yang menamatkan perkhidmatan sebagai Pengerusi Prasarana pada 30 April 2025.

 

Manakala, pelantikan Amir Hamdan sebagai Pemangku PGCEO selaras dengan komitmen syarikat untuk memastikan kesinambungan kepimpinan serta kelangsungan operasi dalam usaha menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang selamat, cekap, dan berdaya saing.

 

Beliau menggantikan Mohd Azharuddin Mat Sah yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada 14 Julai ini.

 

prasarana
 Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (PGCEO), Amir Hamdan.

 

Sebelum ini, Amir Hamdan merupakan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana dan memainkan peranan penting dalam memperkukuh kecekapan operasi serta meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam kendalian syarikat.

 

Beliau menyertai syarikat pada 2019 sebagai Timbalan Ketua Pegawai Kewangan sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd pada 2022. 

 

Sepanjang kepimpinannya di Rapid Rail, beliau menerajui pelbagai inisiatif penambahbaikan yang menyumbang kepada peningkatan kecekapan operasi serta kebolehpercayaan perkhidmatan rel.

 

Amir Hamdan juga merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dari Lincoln University of New Zealand dan Sarjana dalam Amalan Kewangan Islam dari INCEIF University serta ahli bertauliah Association of Chartered Certified Accountants (ACCA).

 

Lembaga Pengarah dan barisan Kepimpinan Kanan Kumpulan Prasarana mengalu-alukan pelantikan Nasir Ahmad dan Amir Hamdan, serta yakin pengalaman luas kedua-dua tokoh ini akan memperkukuh usaha syarikat dalam meningkatkan mutu perkhidmatan dan menyokong aspirasi kerajaan mencapai sasaran kadar penggunaan pengangkutan awam 40% menjelang 2030.

 

Prasarana mencatatkan pelbagai pencapaian termasuk jumlah penumpang harian rel dan bas tertinggi sebanyak 1.5 juta pada 31 Disember 2024, pengurangan gangguan perkhidmatan rel daripada 255 insiden pada 2022 kepada 71 insiden pada 2024, serta pelaksanaan inisiatif baharu seperti perkhidmatan van Rapid On-Demand (ROD).- DagangNews.com