Potongan harga Perodua tidak jejaskan margin MBM Resources, kata MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Potongan harga Perodua tidak jejaskan margin MBM Resources, kata MBSB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 2 Sept -  Potongan harga yang dilaksanakan Perodua dijangka tidak memberi kesan ketara terhadap margin MBM Resources Bhd (MBMR), sekali gus menyokong prospek pendapatan kumpulan untuk kekal stabil dalam tempoh akan datang.

 

MBSB Research berkata, kesan terhadap margin dijangka terkawal pada kurang daripada 1%, memandangkan potongan harga ketika ini hanya melibatkan model Axia yang mempunyai profil margin relatif lebih rendah.

 

Axia menyumbang sekitar 23% daripada jumlah jualan Perodua pada CY25.

 

"Perkembangan itu dilihat positif terhadap MBMR memandangkan sumbangan syarikat bersekutunya meningkat 39.6% tahun ke tahun, merangkumi kira-kira 80% daripada keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan pada 2QFY26," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

MBSB Research menjangkakan jualan Perodua bagi CY26 sederhana daripada 359,904 unit yang dicatatkan pada tahun lalu, namun pendapatan MBMR dijangka kekal relatif stabil.

 

Baki tempahan Perodua pula dianggarkan sekitar 35,000 hingga 40,000 unit, bersamaan tempoh menunggu kira-kira sebulan.

 

Sementara itu, model QV-E mencatat sambutan sederhana dengan 318 unit didaftarkan dalam 7MCY26, berdasarkan data JPJ.

 

Pertanyaan pelanggan juga kekal sederhana, sebahagiannya disebabkan kekangan pengeluaran dan keterlihatan terhad terhadap jadual penghantaran.

 

Dalam pada itu, MBSB Research mengekalkan saranan ‘Beli’ terhadap MBMR dengan menjangkakan pendapatan kumpulan kekal stabil meskipun jualan Perodua CY26 berpotensi sederhana.

 

Saham MBMR kini didagangkan pada -1.0 sisihan piawai (-1.0SD) berbanding purata lima tahun, manakala hasil dividen dianggarkan menarik pada 8.1%. Tiada perubahan dibuat terhadap anggaran pendapatan bagi tahun kewangan yang berkaitan.

 

Pada pada 2QFY26 MBMR mencatat prestasi berdaya tahan apabila jumlah jualan kenderaan meningkat 4.4% tahun ke tahun kepada 7,700 unit, walaupun prestasi berbeza mengikut jenama.

 

Pertumbuhan itu terutama disokong peningkatan peruntukan stok Perodua sebanyak 5.1% tahun ke tahun, selain jualan Daihatsu dan Volvo masing-masing meningkat 27% dan 22.3%.

 

Jumlah kenderaan yang menerima perkhidmatan turut meningkat 6.2% tahun ke tahun, disokong jumlah kenderaan yang sedang beroperasi yang lebih besar susulan jualan Perodua yang kukuh dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

 

Sementara itu, jualan alat ganti automotif mencatat pertumbuhan antara 5% hingga 15% tahun ke tahun, sejajar dengan peningkatan 12.5% dalam jumlah pengeluaran industri. - DagangNews.com